Tuesday, April 23, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    ABDB berpanas berhujan pertahan negara

    Oleh Nurdiyanah R.

    Demi sebuah negara tercinta, mereka sanggup berkorban masa dan tenaga. Demi agama yang satu, mereka terus bersatu.

    Demi kesejahteraan bangsa, mereka tetap bangkit berjuang. Merekalah perwira negara.

    Mereka juga pejuang negara. Ibarat menggenggam ‘nyawa’ negara, itulah yang dapat digambarkan betapa besarnya tanggungjawab insan-insan yang dikenali sebagai anggota tentera dalam memikul amanah yang dimeterai.

    Tanggal 31 Mei merupakan detik istimewa untuk memperingati segala jasa dan bakti mereka yang mana Negara Brunei Darussalam mengadakan Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) pada setiap tahun. Syukur dipanjatkan kepada Allah SWT, kini genaplah 62 tahun usia ABDB.

    Pastinya negara memerlukan pasukan tentera yang memiliki keperibadian yang berkualiti bukan sahaja dari segi fizikal bahkan juga mental. Itulah harapan terbesar negara. Tanpa mereka, sudah pasti sesebuah negara sentiasa berada dalam keadaan tidak selamat seperti telur di hujung tanduk.

    Bukan sahaja nyawa, malah ABDB turut melindungi harta benda rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.
    ABDB turut dianggotai oleh kaum wanita.
    Antara aktiviti tahunan yang dilaksanakan oleh ABDB secara bergotong-royong.
    Tak kira panas ataupun hujan, anggota ABDB sentiasa sedia menghulurkan bantuan.

    Begitu besar pengorbanan ABDB mempertahan kedaulatan negara.

    Dari tahun ke tahun, sejak penubuhan ABDB pada tahun 1961, pelbagai usaha dan cabaran telah diterokai oleh mereka dalam memperkasa penghayatan nilai-nilai teras ABDB, iaitu Takwa, Setia, Berani dan Profesional yang sememangnya merupakan tonggak terpenting dalam menjana, memangkin dan menerajui kemakmuran negara.

    Di samping itu, ABDB berperanan dalam menjalinkan pelbagai ikatan kerjasama dengan negara-negara serantau dan antarabangsa terutamanya dalam mengendalikan operasi keamanan dan bantuan kemanusiaan.

    Menanai kemaslahatan masyarakat

    Warga ABDB selaku benteng pertahanan pertama, turut memegang peranan yang besar dalam menyumbang kepada kemakmuran, keamanan dan kesejahteraan hidup rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.

    Antara usaha kerjasama yang dijalankan oleh ABDB dengan pihak agensi-agensi kerajaan dan persatuan-persatuan bukan kerajaan (NGO) serta syarikat-syarikat swasta ialah melalui pelaksanaan Projek Titian Amal. Projek tersebut meliputi pembinaan rumah baharu bagi mereka yang terpilih dalam kalangan masyarakat di negara ini yang memerlukan bantuan.

    Projek berkenaan adalah sebahagian daripada aktiviti kemasyarakatan yang dilaksanakan setiap tahun dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan demi meringankan bebanan hidup mereka.

    Selain itu, ABDB juga mengendalikan kerja-kerja membersihkan kubur di tanah perkuburan orang-orang Islam dan masjid-masjid secara bergotong-royong. Aktiviti tahunan ini merupakan sebahagian daripada aktiviti keagamaan dan kebajikan yang bertujuan untuk meningkatkan lagi pembangunan kerohanian anggota ABDB, di samping mengeratkan silaturahim serta memupuk keinginan untuk berbakti dan menyumbang kembali kepada masyarakat di negara ini.

    Dalam pada itu, warga ABDB juga sentiasa bergerak aktif dan ringan tangan dalam membantu masyarakat di negara yang mengalami musibah bencana alam seperti banjir kilat yang menjejaskan beberapa kawasan pedalaman iaitu dengan menghulurkan bantuan pemindahan mangsa banjir yang terkandas ke tempat yang selamat.

    Demi sebuah misi kedamaian

    Perjuangan ABDB bukan hanya tertumpu kepada hal ehwal kemaslahatan dalam negara, bahkan kemampuan mereka juga terserlah dengan keterlibatan mereka menerusi operasi-operasi pengamanan serantau dan antarabangsa.

    Salah satunya ialah dengan menyertai misi pemantauan dan pengamanan Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT) Negara Brunei Darussalam di Mindanao, Republik Filipina yang mana sebahagian anggota ABDB terus memainkan peranan bersama rakan-rakan serantau lain untuk meningkatkan lagi komitmen dalam memantau proses gencatan senjata di kawasan tersebut.

    Selain itu, tanggungjawab yang amat besar turut dipikul oleh beberapa orang anggota ABDB dalam mengikuti misi pengamanan ke Lubnan di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNIFIL). Penyertaan ABDB dalam misi tersebut merupakan antara sokongan dan kerjasama negara yang dihulurkan dalam sama-sama meningkatkan keselamatan di peringkat ASEAN dan antarabangsa.

    Besarnya sebuah pengorbanan

    Dalam menjalankan tugas menjaga keamanan dan mempertahankan negara, ada dalam kalangan anggota tentera yang telah terkorban semasa menjalankan tugas.

    Bagi mengenang jasa-jasa mereka, sama-samalah kita berdoa semoga Allah SWT menerima segala pengorbanan yang dicurahkan serta semoga mereka tergolong dalam kalangan insan yang beroleh keampunan dan rahmatNya. Manakala, bagi ahli keluarga yang mereka tinggalkan, kita doakan agar mereka sentiasa diberikan ketabahan dan kekuatan mengharungi kehidupan ini.

    Dengan segala pengorbanan dan kesetiaan yang mereka curahkan pada agama, bangsa dan negara sepanjang 62 tahun ini, ia diharap akan dapat menanamkan semangat kenegaraan dan perjuangan yang tinggi dalam diri kita dan juga para generasi hari ini dan akan datang.

    Walau bagaimanapun, janganlah kita hanya menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada anggota angkatan tentera sahaja. Setiap daripada kita perlu memainkan peranan masing-masing dalam mempertahankan keharmonian dan kedaulatan bagi mewujudkan sebuah negara yang sejahtera, memiliki bangsa yang berkeperibadian tinggi serta pegangan agama yang teguh berasaskan Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Selamat menyambut Hari Ulang Tahun ABDB yang ke-62 tahun!

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...