ABDB syukuri kepulangan kontinjen UNIFIL

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Okt – Bagi mensyukuri kepulangan anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang telah mengikuti penugasan dalam Batalion Malaysia 850-5 (MALBATT 850-5) bagi misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), satu majlis kesyukuran telah diadakan di Surau Kementerian Pertahanan, Bolkiah Garison.

Kontinjen seramai 30 anggota ABDB yang diketuai oleh Mejar Khairul Azme bin Haji Mohidin itu telah selamat kembali ke tanah air pada 4 Oktober yang lalu.

Hadir pada majlis itu ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud, ahli-ahli jawatankuasa eksekutif pertahanan, pengarah-pengarah awam dan tentera serta pegawai-pegawai kanan dan anggota dari Kementerian Pertahanan dan ABDB.

Majlis dimulakan dengan sembahyang Fardu Zuhur berjemaah, Dikir Marhaban dan diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran.

Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan ketika berinteraksi dengan anggota ABDB yang telah mengikuti penugasan dalam MALBATT 850-5, kelmarin.