ABDB terima kenderaan baharu

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Okt – Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) kini mempunyai kenderaan baharu dengan Upacara Penyerahan Kenderaan Ketenteraan KIA, KM450 yang diadakan di Bangunan Pancaragam ABDB, Bolkiah Garison, pagi hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.

Turut hadir ialah para pegawai kanan dari Kementerian Pertahanan dan ABDB serta wakil dari Syarikat Goh Hock Kee Motors Sdn Bhd.

Kenderaan berkenaan telah diserahkan oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad bin Haji Daud dari Worldwide Motors Sdn Bhd.

Ketika menyampaikan ucapan, Yang Dimuliakan Pehin berkata, Worldwide Motors Sdn Bhd yang merupakan pengedar rasmi kenderaan tentera KIA berasa berbesar hati dapat menyerahkan kenderaan itu kepada Kementerian Pertahanan dan ABDB tanpa sebarang ikatan.

Menurutnya lagi, kenderaan seumpama itu telah digunakan di beberapa buah negara di rantau ini seperti Indonesia, Thailand, Malaysia, Filipina dan juga Korea.

Sejurus selepas penyerahan kenderaan ketenteraan berkenaan, tetamu kehormat mendengarkan penerangan ringkas mengenai kenderaan ketenteraan KIA tersebut.

Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan semasa menerima replika kunci daripada Yang Dimuliakan Pehin Haji Mohammad, kelmarin.