Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 FEB – Awang Abdul Aziz bin Noor Nasran akan mewakili Negara Brunei Darussalam dalam Pertandingan Al-Quran Antarabangsa ke-38, Pertandingan Antarabangsa ke-5 bagi Orang Kurang Penglihatan dan Pertandingan Penuntut Antarabangsa ke-7 Peringkat Pertama anjuran Republik Islam Iran setelah berjaya mara ke peringkat akhir musabaqah berkenaan.
Awang Abdul Aziz menyertai musabaqah tersebut secara maya hari ini dari Pejabat Kedutaan Iran di Negara Brunei Darussalam.
Beliau menyertai Kategori Menghafaz 30 Juzuk Al-Quran bagi Pertandingan Penuntut Antarabangsa kali ke-7.
Awang Abdul Aziz merupakan pelajar Pra U2 Syariah di Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah, dan pernah menjadi johan Kategori E Menghafaz 30 Juzuk Al-Quran pada Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 2019.