Abdul Latif intai emas hatrik

KUALA LUMPUR, 19 JUN – Atlet olahraga para Malaysia, Abdul Latif Romly menyasarkan untuk mempertahankan pingat emas acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2019 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada November ini.

Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016 itu yang melakar rekod dunia dengan jarak 7.64 meter pada Sukan Asia 2018, bagaimanapun, tidak mahu terlalu memberi tekanan kepada dirinya untuk memperbaiki jarak lompatan kerana baru sahaja pulih daripada kecederaan hamstring yang dialaminya sebelum ini.

“Catatan terbaik saya pada musim ini (season best) adalah 7.49 meter pada Terbuka Thailand, baru-baru ini, jadi saya kena lakukan lompatan lebih daripada 7.6 meter sekiranya saya mahu mempertahankan pingat emas, sekali gus melakar emas hatrik sejak 2017.

“Saya yakin pertahankan kejuaraan dunia kerana jurulatih (Syahrul Amri Suhaimi) berpendapat saya hanya perlu perbaiki teknik lompatan sahaja,”katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Olahragawan Kebangsaan 2016 itu mengakui peluangnya untuk menyertai Sukan SEA 2019 di Filipina, November ini mungkin sukar kerana perlu melepasi had kelayakan 7.75 meter, namun bertekad cuba mengatasi catatan berkenaan.

Untuk rekod, anak jati Perlis itu pernah beraksi di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, namun gagal meraih kedudukan podium. “Mungkin sukar tapi saya akan cuba memandangkan saya telah melakukan lompatan 7.49 meter pada musim ini.

“Jika tidak berjaya, saya akan tumpu Sukan PAra ASEAN 2019,” jelasnya. – Bernama