Abdul Wafi juara pidato kebangsaan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JAN – Awang Abdul Wafi bin Haji Abdul Rahman telah diumumkan sebagai juara Pertandingan Pidato Kebangsaan Brunei Darussalam 2019 sempena Bulan Bahasa 2019, yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Lapangan Terbang Lama, Berakas, hari ini.

Selaku juara, Awang Abdul Wafi membawa pulang wang tunai $1,000 serta piala iri-ngan sumbangan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, buku-buku terbitan DBP, sijil penghargaan dan hadiah-hadiah tajaan Insurans Islam Taib Sdn Bhd, Syarikat Perniagaan dan Perkhidmatan Percetakan Ezy Sdn Bhd, Jerudong Park and Country Club, Restoran Pondok Sari Wangi, Syarikat NBT Brunei Sdn Bhd, Hotel Badiah, dan Burger King Brunei.

Tempat kedua pula dimenangi oleh Awangku Mohd Nukman Syawqi bin Pengiran Mohd Salimin dengan membawa pulang wang tunai $700, plak, buku-buku terbitan DBP, sijil penghargaan dan hadiah-hadiah tajaan daripada Syarikat Perniagaan dan Perkhidmatan Percetakan Ezy Sdn Bhd, Jerudong Park Country and Club, Syarikat NBT Brunei Sdn Bhd, Restoran Pondok Sari Wangi dan Burger King.

Manakala itu, Awang Mohd Iqbaal Syaqib bin Haji Suhib memenangi tempat ketiga dan membawa pulang $500 berserta, plak, buku-buku terbitan DBP, dan sijil penghargaan dan hadiah-hadiah tajaan Syarikat Perniagaan dan Perkhidmatan Percetakan Ezy Sdn Bhd, Jerudong Park Country and Club, Syarikat NBT Brunei Sdn Bhd dan Burger King.

Selain itu, tiga pemenang sagu hati membawa pulang hadiah wang tunai $150, buku-buku terbitan DBP, sijil penghargaan dan hadiah-hadiah tajaan.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyampaikan hadiah kepada Awang Abdul Wafi selaku juara pertandingan pidato.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara dan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyaksikan raptai penuh di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Hadir selaku tetamu khas dan menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang ialah Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Majlis turut diselajurkan dengan penyampaian Anugerah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam (ISESCO) yang juga disempurnakan oleh Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan.

Penerima anugerah adalah Pusat Sejarah Brunei, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) yang menerima anugerah projek terbaik bagi Projek Kebudayaan bagi Bandar Seri Begawan, Ibu Negara Budaya Islam 2019 manakala itu, Hadiah Insentif ISESCO dalam Industri Tradisional dan Kraf tangan pula diberikan kepada Dayangku Noorhani binti Pengiran Haji Mohammad dari Syarikat Perusahaan Asnika.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap di KKBS, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pertandingan yang dianjurkan oleh DBP itu berobjektif untuk meluaskan dan memantapkan pengetahuan, penggunaan, dan penguasaan Bahasa Melayu standard yang betul dan benar selain membina keyakinan diri dan kemahiran komunikasi untuk mampu berucap di khalayak ramai.

Di samping itu, ia juga diadakan untuk meluaskan pengetahuan am dan isu-isu semasa dalam dan luar negara, menggalakkan remaja untuk berfikir, mengolah idea dan mengemukakan pendapat mereka berhubung sesuatu tema yang ditetapkan oleh pihak penganjur serta memastikan kemahiran seni ini tidak terus lenyap ditelan zaman bagi menjana daya saing secara positif.

Tema pidato kali ini adalah Belia dalam Revolusi Industri 4.0, Bahasa Melayu Bahasa Kita, Belia Pemangkin Pelestarian Budaya Bangsa, Bahasa Melayu dalam Arena Digital dan Belia Siaga Masa Depan Pertandingan pidato kali ini mengangkat empat tema dasar yang signifikan dengan pemartabatan Bahasa Melayu dan disasarkan kepada kalangan belia.

Seperti yang dimaklumi, cabaran dunia ketika ini menuntut untuk melahirkan insan yang mempunyai moral wibawa kepimpinan melalui dukungan pengucapan awam.

Pengucapan awam yang bernas dan bernilai etika merupakan asas utama yang pada zahirnya mampu menampilkan sifat kepimpinan yang tinggi dan berwawasan.

Inilah yang dihasratkan oleh negara iaitu melahirkan generasi yang berani berhujah, mengutarakan pendapat, memberi huraian yang kritis, malah berupaya mempengaruhi pemikiran khalayak dengan idea dan ujaran yang membuka minda pendengar.

Oleh itu, inisiatif DBP mengadakan pertandingan berkenaan juga bertujuan bagi mengasah kebolehan, menggilap bakat sedia ada, menyuarakan idea dengan mengupas isu-isu semasa, yang dalam masa sama mewujudkan keterampilan, keberanian, kepetahan, serta daya saing dalam penghujahan.

Melalui pertandingan berkenaan, para peserta juga akan dapat menyemai sifat kepimpinan yang baik, mendalami seni pengucapan secara bersistematik dan terperinci, di samping menimbulkan disiplin diri dalam mematuhi aturan.