Thursday, January 23, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Abdurrahman dihukum mati

    JAKARTA, 22 Jun – Ulama Indonesia, Aman Abdurrahman dijatuhi hukuman mati hari ini, selepas mahkamah mendapati dia terbabit dalam serangan pengebom nekad disyaki anggota militan Islamic State (IS) di sebuah kafe Starbucks di sini, pada 2016.

    Terdahulu, mahkamah yang dikawal ketat pihak polis telah mendapati Abdurrahman bersalah kerana bertindak sebagai perancang utama serangan yang mengorbankan empat mangsa, sebelum menjatuhkan hukuman ke atasnya.

    Serangan itu merupakan serangan pertama didakwa dilakukan oleh rangkaian keganasan antarabangsa itu ke atas Asia Tenggara.

    “Pihak defendan berjaya dibuktikan terbabit dalam jenayah keganasan dan dengan itu dia dikenakan hukuman mati,” kata hakim, Akhmad Jaini yang turut membacakan pembabitan Aman dalam beberapa siri serangan lain yang menyumbang kepada hukuman berkenaan.

    “Dia akan dijatuhkan hukuman mati”.

    Aman Abdurrahman (tengah) dikawal ketat oleh anggota keselamatan ketika tiba di Mahkamah Daerah Jakarta Selatan, Indonesia kelmarin. – AFP

    Abdurrahman yang duduk di atas kerusi defendan di tengah ruang mahkamah, kelihatannya diam dan menunjukkan sedikit reaksi ketika para pengawal keselamatan yang bersenjata mengawalnya. Peguamnya, Asludin Hatjani menyatakan hukuman itu sebagai ‘tidak adil’, sambil menambah bahawa tidak terdapat banyak bukti yang telah mengaitkan Abdurrahman dengan serangan maut tersebut.

    Hukumannya akan dilakukan oleh skuad menembak di negara majoriti penduduknya beragama Islam dan yang terbesar di dunia itu. Sementara itu, Indonesia masih lagi berdepan dengan serangan-serangan maut anggota militan.

    Pada tahun 2002, pengeboman di pulau peranginan Bali membunuh lebih daripada 200 orang, kebanyakannya pelancong asing, dalam satu serangan ganas yang paling teruk berlaku di Indonesia.

    Serangan di ibu negara dua tahun lalu menyaksikan pasukan keselamatan melancarkan serangan senjata api ke atas kumpulan militan berhampiran dengan kafe di mana seorang pengebom bunuh diri dengan meletupkan bahan peledaknya. Pendakwa menuntut agar Abdurrahman dijatuhkan hukuman mati atas peranannya dalam serangan itu bulan lalu.

    Abdurrahman yang dipercayai berusia 46 tahun, dianggap sebagai ketua de facto semua penyokong militan IS di Indonesia dan dia turut berperanan sebagai pemimpin agama rangkaian militan tempatan, Jamaah Ansharut Daulah (JAD).

    Pihak berkuasa mendakwa JAD bertanggungjawab terhadap serangan pada 2016 dan beberapa siri pengebom nekad baru-baru ini, di bandar raya kedua terbesar di Indonesia, Surabaya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda