Abe cetus kemarahan, pesakit kembali positif meningkat di Korea

TOKYO, 13 APRIL – Mesej ‘duduk rumah’ Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe membangkitkan kemarahan dan tuduhan bahawa beliau tidak sensitif terhadap orang yang tidak dapat berehat di rumah kerana langkah-langkah penjarakan sosial kerajaan adalah secara sukarela dan tidak diberikan pampasan.

Segelintir orang menunjukkan reaksi dalam mesej di Twitternya dengan mengatakan Abe berlagak seperti ‘aristokrat’. Video seminit dikeluarkan pada kelmarin menunjukkan Abe duduk di rumah, tanpa ekspresi memeluk anjingnya, membaca buku, minum secawan teh dan mengetik alat kawalan jauh. Penghibur Gen Hoshino muncul dalam sebahagian video itu, namun kemudian mengatakan klip dia memetik gitar di sebuah kediaman itu digunakan tanpa kebenarannya.

Abe mengisytiharkan perintah darurat di Tokyo dan empat lagi wilayah lainnya pada Selasa dan memperluaskannya ke seluruh negara pada Sabtu. Beliau meminta orang ramai duduk di rumah dan mengurangkan interaksi sehingga 80 peratus, namun beliau tidak menutup perniagaan untuk menunggu kesan arahan duduk di rumah dinilai.

Jepun mempunyai 7,255 kes jangkitan COVID-19 disahkan, dengan 114 kematian, menurut statistik terbaharu hari ini.

Manakala dalam perkembangan lain di rantau Asia Pasifik, Korea Selatan mencatatkan peningkatan dalam kes pesakit kembali positif selepas sembuh, meningkat kepada 116 orang dan pegawai bimbang dengan ‘penularan senyap’ virus tersebut, terutama selepas jangkitan di bar dan kemudahan libur lainnya.

Di Sri Lanka pula, pihak berkuasa mengumumkan pembukaan semula sekolah pada 11 Mei, dengan universiti akan bermula 4 Mei. Negara itu mempunyai 210 kes disahkan, termasuk tujuh kematian.

China pula melaporkan 108 kes baharu, 98 daripadanya kes import. Jumlah keseluruhan di China kini adalah 3,341 kematian dalam kalangan 82,160 orang diuji positif. – AP

Seorang kakitangan kereta api kelihatan di stesen kereta api yang lengang di Tokyo, 13 April. Perdana Menteri Shinzo Abe mencetuskan kemarahan awam kerana dikatakan tidak sensitif terhadap orang yang tidak dapat berehat di rumah. – AP