Abe harap sidang kemuncak Jepun-Rusia dapat diadakan

TOKYO, 21 JULAI – Perdana Menteri Shinzo Abe berharap dapat bertemu Presiden Rusia Vladimir Putin selepas pandemik COVID-19 berakhir, untuk membincangkan isu pertikaian wilayah yang sudah tertangguh sejak sekian lama, kata anggota parlimen dari Parti Inovasi Jepun, Muneo Suzuki, lapor agensi berita Sputnik.

Suzuki bertemu Abe pada hari ini di kediaman perdana menteri, memetik agensi berita Kyodo.

Berikutan pertemuan itu, Suzuki memberitahu wartawan, Abe menyuarakan harapannya  “pandemik itu akan segera berakhir sehingga (kita) dapat memikirkan pertemuan peringkat tinggi yang seterusnya.”

Hubungan Rusia dan Jepun agak rumit disebabkan kedua-dua negara tidak pernah menandatangani perjanjian damai yang kekal setelah Perang Dunia Kedua.

Isu utama ialah mengenai pertikaian empat pulau di Kepulauan Kuril – Iturup, Kunashir, Shikotan, dan Habomai.

Pada November 2018, Abe dan Putin sepakat untuk mempercepat rundingan perjanjian damai berdasarkan deklarasi bersama era Soviet.

Dokumen yang dimeterai pada 1956 itu, antara lain, menyatakan Soviet Union akan menyerahkan dua pulau yang dipertikaikan – Habomai dan Shikotan – kepada Jepun sebagai hasil perjanjian damai. – Bernama

Shinzo Abe berharap dapat bertemu  Vladimir Putin untuk membincangkan isu pertikaian wilayah yang sudah tertangguh sejak sekian lama. – AP