Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Abe Lan pengasuh si candik

    KOTA BHARU – Kemerduan suara burung merbah jambul atau candik amat mengasyikkan malah ramai sudah mengetahui mengenai pertandingan mencari keunikan suara unggas tersebut di negeri Cik Siti Wan Kembang ini.

    Bagi peminat burung berkenaan di sekitar ibu negeri ini, mereka mempunyai sebuah ‘pusat asuhan’ khusus untuk menghantar burung peliharaan masing-masing sebelum menyertai sebarang pertandingan.

    Sejak lebih 10 tahun lepas, menjadi rutin harian Mohd Mazlan Ya, 61, berkhidmat sebagai pengasuh kepada ratusan ekor si candik yang dihantar oleh para penggemar burung itu ke kedai burung miliknya di Bazar Tengku Anis, di sini.

    “Saya buka kedai sekitar 7:30 pagi dan dalam tempoh itu rakan-rakan akan menghantar burung merbah jambul atau candik milik mereka kepada saya.

    “Kebanyakan pemilik ini bekerja di sekitar Kota Bharu, jadi mereka tinggalkan si candik di sini hingga habis waktu bertugas kira-kira 5 hingga 6 petang. Jadi sepanjang tempoh tersebut, saya akan memandikan, membersihkan sangkar, menjemur dan memberi makan kepada burung itu. 

    Pengasuh burung Candik Mohd Mazlan Ya (kiri) bersama Presiden Persatuan Seni Suara Burung Candik Kelantan (PSSBCK), Mohd Arif Mohd Yaacob menunjukkan sebahagian burung Candik milik pelangga ketika ditemui Bernama di kedai miliknya di Bazar Tengku Anis. – Bernama
    Mohd Mazlan Ya memeriksa sebahagian burung Candik agar berada dalam keadaan baik ketika ditemui Bernama di kedai miliknya di Bazar Tengku Anis. – Bernama
    Mohd Mazlan Ya melakukan ujian kecergasan sebahagian burung milik pelanggannya agar berada dalam keadaan sihat. – Bernama

    “Faktor paling penting yang menjadikan tempat (kedai) saya ini sebagai pilihan utama mereka adalah kerana saya akan mengadu suara burung candik sebab setiap hari ada hampir 30 ekor di kedai ini,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

    Mohd Mazlan yang mesra dengan panggilan Abe Lan dalam kalangan peminat si candik berkata terdapat dua kategori burung itu yang diasuh di kedainya yang beroperasi dari Sabtu hingga Rabu.

    “Kategori pertama, burung ‘main’ yang sudah biasa menyertai pertandingan dan sedia untuk beradu. Kategori kedua ialah burung reban yang masih baru dan perlu diasuh sebelum menyertai pertandingan.

    “Sebab itu saya akan buka kedai bermula Sabtu hingga Rabu kerana burung-burung ini perlu berehat pada Khamis sebelum menyertai pertandingan pada keesokan harinya (Jumaat),” katanya.

    Lebih istimewa, Abe Lan langsung tidak mengenakan sebarang bayaran kepada rakan-rakan yang meninggalkan si candik untuk diasuhnya.

    “Tak ada sebarang bayaran, semuanya percuma. Mungkin itu faktor saya dan tempat ini dipilih sebagai pusat asuhan si candik. 

    “Bagaimanapun, sebagai tanda terima kasih dan penghargaan kepada saya, rakan-rakan akan membeli makanan burung yang dijual di kedai ini,” katanya.

    Sementara itu, Presiden Persatuan Seni Suara Burung Candik Kelantan Mohd Arif Mohd Yaacob, 55, berkata burung candik perlu dibiasakan dengan keadaan persekitaran sebelum menyertai pertandingan.

    “Di kedai milik Abe Lan ini, ada disediakan tempat khusus untuk menggantung sangkar burung candik. Ada hampir 30 ekor burung dalam satu-satu masa, persekitaran seakan pertandingan akan membiasakan unggas sebelum menyertai pertandingan sebenar.

    “Ini penting kerana kita mahu burung biasa dengan persekitaran dan tidak takut dengan kehadiran orang ramai,” katanya sambil menambah empat kriteria iaitu galak, gaya, air suara dan hujung suara akan dinilai semasa pertandingan unggas tersebut. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...