Abe rombak kabinet

TOKYO, 11 SEPT – Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe melantik menteri luar dan menteri pertahanan baharu, selain menaikkan pangkat tokoh politik yang semakin popular dalam  rombakan Kabinet yang diumumkan hari ini.

Pelantikan Shinjiro Koizumi, 38, yang juga anak lelaki bekas perdana menteri, Junichiro Koizumi sebagai menteri alam sekitar, menyemarakkan spekulasi bagi pengganti Abe.

“Abe mungkin mahu memulakan saingan bagi memilih calon untuk mengisi jawatan perdana menteri dan seterusnya pengganti selepas itu,” kata ketua pasaran ekonomi SMBC Nikko Securities, Yoshimasa Maruyama.

Shinjiro Koizumi mendapat liputan meluas media ketika mengumumkan perkahwinannya dengan penyiar televisyen terkenal, Christel Takigawa, baru-baru ini.

Beliau merupakan menteri ketiga paling muda yang dilantik menganggotai Kabinet Jepun sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua, di sebuah negara yang mengutamakan faktor senioriti dalam politik.

Abe bakal menjadi Perdana Menteri Jepun yang paling lama berkhidmat pada November ini, tetapi dijangka meletakkan jawatan dalam pemilihan Parti Liberal Demokratik (LDP) pada 2021, dan saingan bagi merebut jawatan itu dilaporkan sudah bermula.

Sementara itu, menteri luar baharu Jepun, Toshimitsu Motegi dinaikkan pangkat susulan kejayaannya ketika mengendalikan rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat.

Taro Kono, bekas menteri luar pula dipindahkan ke portfolio pertahanan, yang dilihat sebagai satu usaha untuk memperkukuhkan kedudukan Jepun bagi menghadapi Korea Selatan, ketika hubungan antara kedua-dua negara semakin tegang. – AFP

Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe (depan tengah) bergambar ramai bersama barisan menteri kabinet baharunya di Tokyo susulan rombakan kabinet hari ini, dengan salah seorang tokoh popular menjadi menteri alam sekitarnya. –AFP