TOKYO, 15 Ogos – Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bersetuju untuk mengadakan kerjasama dengan masyarakat antarabangsa bagi menghalang Korea Utara melancarkan peluru berpandu yang mungkin ditujukan ke wilayah Guam AS, lapor agensi berita China Xinhua.
Persetujuan itu dicapai menerusi perbincangan telefon antara kedua-dua pemimpin hari ini.
Sementara itu, pada satu taklimat media, Perdana Menteri Jepun berkata negara itu akan terus bekerjasama rapat dengan AS dan Korea Selatan juga dengan masyarakat antarabangsa termasuk China dan Rusia.
“Pada masa sama, kami akan berusaha keras untuk melindungi rakyat dan bersedia menghadapi apa jua kemungkinan. Pengawasan keselamatan dan sistem pertahanan peluru berpandu di bawah perikatan Jepun-AS akan senantiasa dipantau bagi mempastikan ia berada di tahap terbaik,” tambah Abe.
Perbualan kedua-dua pemimpin susulan hasrat Korea Utara untuk melancarkan serangan peluru berpandu ke Guam di pasifik barat.
Tindakan berkenaan sekaligus membimbangkan Jepun, memandangkan laluan peluru berpandu mungkin boleh merentasi sekurang-kurangnya empat wilayah di Jepun, kata Abe. – Bernama