Abraham penyelamat The Blues

LONDON, 27 SEPT – Pengurus Chelsea, Frank Lampard mahu barisan pemainnya mengambil iktibar di atas kesilapan yang dilakukan mereka sebelum Tammy Abraham menjaringkan gol pada lewat perlawanan bagi mengikat West Bromwich Albion 3-3 dalam sai-ngan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Aksi longlai anak buah Lampard pada babak pertama perlawanan menyaksikan mereka ketinggalan 0-3 menerusi gol yang dijaringkan Callum Robinson dan Kyle Bartley.

Kapten Chelsea, Thiago Silva seharusnya bertanggungjawab di atas kesilapan yang dilakukan pada penampilan pertamanya selepas tonggak pertahanan Paris Saint-Germain itu memberikan bola kepada Robinson untuk menjaringkan gol keduanya.

Bagaimanapun, Mason Mount mencetuskan kebangkitan The Blues pada babak kedua perlawanan apabila meledak gol pada minit ke-55 sebelum Callum Hudson-Odoi menjaringkan gol kedua minit ke-70.

Abraham muncul penyelamat Chelsea apabila menjaringkan gol penyamaan buat kelab itu pada masa tambahan.

Aksi Abraham ketika menjaringkan gol penyamaan ketiga buat pasukannya semasa menentang West Bromwich Albion pada perlawanan di England awal pagi kelmarin. – AP

Ketika Lampard boleh menarik nafas lega dengan kekuatan jentera serangan dimilikinya namun dia mengakui masih banyak perlu dilakukan bagi mengukuhkan benteng pertahanannya.

“Anda tidak boleh terus menghukum mereka di atas kesilapan yang dilakukan hari ini. Anda boleh mengadakan sebanyak mungkin pertemuan yang anda mahukan tetapi dengan kesilapan seperti itu anda memberikan diri anda kekuatan untuk bangkit.

“Persoalannya adalah bagaimana anda bangkit pada babak kedua perlawanan. Saya sentiasa merasakan yang kami mampu melakukannya tetapi kami tetap kehilangan dua mata.

“Ini adalah pengajaran berguna buat kami,” kata Lampard.

Selepas membelanjakan 200 juta pound bagi membawa masuk pemain baharu, Chelsea sepatutnya berubah menjadi kelab yang mampu mencabar kejuaraan liga tetapi prestasi yang ditunjukkan ketika ini membuktikan mereka masih jauh ketinggalan di belakang juara bertahan, Liverpool.

“Saya tidak akan mengkritik seluruh permainan ini. Tiada sebarang aspek taktikal yang boleh anda buat analisis kerana semuanya berlaku disebabkan kesilapan mudah.

“Saya menjangkakan ada peningkatan dalam prestasi pemain. Namun, dari aspek kecergasan pasukan, ia tidak akan berlanjutan sehingga selepas tamat rehat antarabangsa untuk saya lihat kami berada pada tahap terbaik,” katanya. – AFP