Sunday, July 13, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Abu Bakar Juah hembus nafas terakhir

    Allahyarham Abu Bakar Juah menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan tenang, petang semalam.

    Pelakon filem Matinya Seorang Patriot yang dilaporkan tenat sejak minggu lalu meninggal dunia akibat kanser hati di kediamannya di Alam Damai Cheras, jam 6:35 petang semalam.

    Anak keduanya, Zarith Abu Bakar, 37, bersyukur bapanya pergi dengan tenang, biarpun dalam keadaan koma.

    Bagaimanapun, ibu kepada seorang cahaya mata itu tidak dapat berkongsi detik terakhir bersama arwah bapa.

    “Alhamdulillah, emak, adik-beradik dan sanak saudara dapat berkumpul pada saat akhir arwah sebelum meninggal dunia. Hanya suami saya tak dapat pulang berikutan bekerja di Kemboja.

    Abu Bakar Juah yang dilaporkan tenat sejak minggu lalu meninggal dunia akibat kanser hati di kediamannya. – Agensi

    “Namun, arwah abah pergi dalam keadaan tenang. Kami reda dengan pemergiannya. Suhu badan naik dan berada dalam keadaan koma dua hari sebelum menutup mata. Kami hanya mampu menggenggam tangannya sebelum dia pergi buat selama-lamanya.

    “Arwah juga mengalirkan air mata memberi maksud dia tahu kami berada di sisinya,” katanya kepada media.

    Ekoran itu, Zarith berkata, dia dan adik beradiknya berada di sisi arwah sepanjang berhadapan dengan kesakitannya.

    “Saya bersyukur arwah sudah menunaikan ibadah haji, jadi tiada niatnya yang tergendala lagi. Kami adik beradik bergilir-gilir menjaganya.

    “Sudah ketentuan takdir, adik bongsu, Benjemin Nor tidak bekerja disebabkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jadi, dia banyak berkorban membantu Mama menjaga arwah. Tetapi, adik beradik lain tetap mengambil giliran menjaga arwah di hospital dan rumah,” katanya yang ditemui selepas majlis pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Alam Damai, Cheras, pagi tadi.

    Ketika diminta berkongsi pengalaman menjaga arwah, Benjemin menolak dengan baik. Usaha mahu menemubual isteri arwah, Rusidah Mohd Yassin juga tidak berjaya dilakukan kerana masih lagi bersedih. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda