ABU DHABI, 7 SEPTĀ – Sidang kemuncak global pemimpin agama dari seluruh dunia akan berlangsung di Abu Dhabi pada 6 dan 7 November bagi menekankan peranan penting komuniti agama dalam menangani perubahan iklim.
Sidang kemuncak itu akan berlangsung menjelang Persidangan ke-28 Pihak-pihak UNFCCC (COP28), yang akan dihoskan oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 30 November hingga 12 Disember, lapor Agensi Berita WAM.
Di bawah naungan Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, acara itu akan dianjurkan oleh Council Of Elders Islam (MCE) dengan kerjasama Presiden COP28, Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) dan Gereja Katolik.
Pemimpin yang mewakili agama, ahli akademik dan pakar alam sekitar utama dunia dijangka menghadiri acara dua hari itu yang bermatlamat membincangkan tanggungjawab etika pemimpin agama dalam menangani krisis iklim.
Mesyuarat itu juga akan menangani kerjasama antara agama dan sains untuk merapatkan jurang antara bukti empirikal dan ajaran rohani, membincangkan strategi menguatkan suara pemimpin agama dalam meningkatkan keadilan iklim, dan menyerlahkan cara untuk melibatkan komuniti akar umbi dalam mencapai pembangunan mampan.

Semasa COP28, MCE dan UNEP, dengan kerjasama Presidensi COP28, akan menganjurkan bersama Faith Pavilion, pavilion pertama seumpamanya pada acara COP.
COP28 UAE akan berlangsung di Expo City Dubai dan dijangka menghimpunkan lebih 70,000 peserta, termasuk ketua negara, pegawai kerajaan, pemimpin industri antarabangsa, wakil sektor swasta, ahli akademik, pakar serta golongan belia.
Seperti yang dimandatkan oleh Perjanjian Iklim Paris, COP28 UAE akan menyampaikan hasil kajian global pertama mengenai penilaian komprehensif kemajuan terhadap matlamat iklim.
UAE akan mengetuai proses untuk mendapatkan persetujuan semua pihak terhadap pelan yang jelas untuk mempercepat kemajuan melalui peralihan tenaga global yang pragmatik dan pendekatan ātidak mengetepikan sesiapaā dalam tindakan iklim inklusif. – Bernama