AC Milan gagal rebut peluang

MILAN, 8 NOV – AC Milan terlepas peluang untuk menduduki tangga teratas Serie A kelmarin selepas seri 1-1 dalam aksi berdepan Inter Milan yang membolehkan Napoli mengekalkan tempat mereka di puncak liga.

Pasukan bimbingan Stefano Pioli yang belum tewas menyamai Napoli dengan 32 mata selepas gol sendiri Stefan de Vrij membatalkan sepakan penalti bekas pemain Milan, Hakan Calhanoglu pada minit ke-11 untuk Inter dalam pertemuan yang sengit dan menarik di San Siro.

Milan, yang peminatnya mempamerkan aksi besar sebelum perlawanan sebagai penghormatan kepada petugas kesihatan dan mereka yang meninggal dunia akibat COVID-19, menyesali peluang yang terlepas untuk menuntut tempat pertama selepas Napoli hanya mampu seri 1-1 dengan Verona kelmarin.

“Kami hanya mampu berfikiran optimis kerana apabila awda bersedia untuk perlawanan awda ingin memenanginya, lebih-lebih lagi perlawanan derby,” kata Pioli kepada DAZN.

“Inter adalah pasukan yang bagus dan kami membuktikan bahawa kami juga kuat. Ia adalah persembahan yang positif.” – AFP

Aksi pemain depan AC Milan, Zlatan Ibrahimovic mengawal bola dalam perlawanan bola sepak Serie A Itali menentang Inter Milan di stadium San Siro kelmarin. – AFP