AC Milan mara ke suku akhir Piala Itali

MILAN, 13 JAN – Zlatan Ibrahimovic kembali beraksi dalam kesebelasan utama setelah tujuh minggu diketepikan kerana kecederaan tetapi AC Milan terpaksa bertarung untuk mara ke suku akhir Piala Itali dengan kemenangan 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti ke atas Torino setelah perlawanan semalam berakhir 0-0.

Hakan Calhanoglu menjaringkan penalti kemenangan selepas penalti Tomas Rincon tersasar di San Siro.

“Itu adalah perlawanan yang sangat sulit, tetapi Milan tidak pernah menyerah, kami berjuang selama 120 minit,” kata jurulatih Stefano Pioli.

“Pemain-pemain ini membuat saya bangga, kerana bagaimana mereka berlatih dan komitmen mereka.

“Anda dapat melihat bahawa saya merasa senang di Milan. Pasukan ini membuat saya bangga dan apabila anda sangat gembira, anda merasa yakin.”

Ibrahimovic membuat penampilan lewat akhir minggu lalu dalam kemenangan 2-0 ke atas Torino di Serie A, setelah diketepikan kerana mengalami kecederaan paha kiri sejak menjaringkan dua gol menentang Napoli pada 22 November lalu.

“Saya mahu memberi peluang Ibrahimovic lebih lama setelah kembali ke kejuaraan,” tekan Pioli, yang pasukannya berada di kedudukan teratas dalam Serie A.

“Dia bermain dengan baik dan ini akan membantunya mencari rentak terbaik.” – AFP

Reaksi pasukan AC Milan ketikan meraikan kemenangan mereka menerusi sepakan penalti menentang Torino di Stadium San Siro, semalam. – AFP