AC Milan pecat Giampaolo

MILAN, 9 OKT – AC Milan memecat jurulatih Marco Giampaolo selepas hanya tujuh perlawanan ketika bekas kelab gergasi Eropah itu merudum ke tangga ke-13 Serie A Itali, dengan bekas jurulatih Inter Milan, Stefano Pioli dijangka mengambil alih.

Giampaolo menggantikan bekas wira Milan, Gennaro Gattuso, yang meletak jawatan sesudah terlepas aksi Liga Juara-Juara musim lalu dengan penamat tangga kelima.

Namun selepas empat kekalahan yang termasuk kalah aksi musuh setempat 0-2 di tangan Inter, juara Eropah tujuh kali itu hanya tiga mata di atas zon penyingkiran.

“Kelab ini berterima kasih kepada Marco kerana usahanya selama ini dan mendoakan yang terbaik dalam karier profesionalnya,” menurut pasukan itu dalam satu kenyataan.

Pengendali berusia 52 tahun itu bergelut untuk melonjakkan Milan, yang terpaksa melepaskan tempat dalam Liga Europa musim ini kerana melanggar peraturan kewangan UEFA.

Kemenangan 2-1 di Genoa Sabtu lalu tidak cukup untuk menyelamatkan bekas bos Sampdoria itu, yang menjadi jurulatih ketujuh mengendalikan Milan sejak lima tahun lalu.

Pioli dilaporkan akan mengambil alih kelab bermasalah itu, yang menang kejuaraan terakhir daripada 18 gelaran liga Itali pada 2011.

Akhbar Gazzetta Dello Sport menyatakan Pioli bersedia menandatangani kontrak dua tahun hari ini bernilai 1.5 juta euro.

“Esok saya boleh bercakap mengenainya,” kata Pioli kepada wartawan ketika beliau tiba di Milan bagi rundingan semalam. – AFP

AC Milan memecat Giampaolo selepas tujuh perlawanan musim ini. – AP