MILAN, 23 MEI – AC Milan memenangi kejuaraan Serie A pertama mereka dalam tempoh 11 tahun kelmarin selepas menewaskan Sassuolo 3-0 di Reggio Emilia untuk merampas mahkota daripada pesaing tempatan, Inter Milan.
Hanya memerlukan satu mata untuk menuntut Scudetto, Milan menumpaskan tuan rumah hasil dua jaringan Olivier Giroud dan satu lagi daripada Franck Kessie pada separuh masa pertama di hadapan pasukan penyokong lawan di Stadium Mapei.
AC Milan dibantu oleh assist hatrik dari-pada pemain sayap, Rafale Leao, yang dilaporkan menjadi sasaran musim panas oleh Paris Saint-Germain.
Giroud telah menjaringkan beberapa gol terpenting ketika Milan memburu kejuaraan dan sekali lagi menunjukkan kehebatan beliau dalam perlawanan semalam pada minit ke-17.
Beliau berada di posisi dan masa yang tepat untuk menguis hantaran rendah Leao melalui kaki Andrea Consigli dan menjaringkan gol yang pertama buat Milan.
Sassuolo serta-merta gusar menghadapi serangan hebat Milan yang kemudiannya memberi peluang kepada Giroud untuk menjaringkan gol kedua yang hampir sama hanya selepas setengah jam perlawanan.
Leao sekali lagi menjadi perantara, kali ini merampas bola daripada Gian Marco Ferrari sebelum melakukan satu lagi hantaran rendah untuk Giroud dan menjaringkan gol kedua Milan di minit ke-32. Keadaan bertambah buruk bagi Sassuolo apabila empat minit kemudian Kessie meledakkan gol ketiga menerusi hantaran lintang yang rendah daripada Leao.
AC Milan melakar kejuaraan buat kali ke-19 Itali selepas bertahun-tahun dibelenggu prestasi kelab yang menghampakan dan masalah kewangan sejak mahkota liga terakhir mereka pada 2011. – AFP