Perkongsian pengacara terkenal, Datuk AC Mizal mengenai kesempitan hidup yang pernah dialami sekitar 20 tahun lalu ketika menanti kelahiran anak pertama bersama isteri, Datin Emylia Rosnaida menjadi bahan jenaka dalam kalangan warganet di media sosial.
Menerusi temu bual program #MHThrowback terbitan portal Media Hiburan, AC Mizal mendedahkan dia pernah terpaksa makan tisu bersama kuah roti canai untuk mengisi perut dan ia merupakan fasa sukar dalam hidupnya.
“Ini kisah benar. Kalau orang nak cerita fasal kesusahan dengan saya, tak payahlah. Saya sudah lalui macam-macam,” katanya dalam temu bual yang dikendalikan Radin Era tersebut.
Tidak hanya dianggap lucu, segelintir warganet menyifatkan kenyataan AC Mizal itu sebagai perkara tidak masuk akal.
Rata-rata sukar mempercayai perkongsian itu kerana menganggap ia mustahil dan tidak mungkin dilakukan oleh seorang individu seperti pengacara berkenaan.
Pun begitu, ada juga menyifatkan tisu yang dimaksudkan oleh AC Mizal adalah roti tisu yang pada ketika itu harganya masih mampu milik.
“Rasanya roti tisu. Dia melawak, bersangka baik sahaja. Kami miskin sangat pun dulu tak pernah makan tisu, paling-paling pun makan ubi,” tulis salah seorang warganet di Facebook.
Dalam pada itu, terdapat juga warganet yang berseloroh bahawa menu tisu bersama kuah roti canai akan menjadi fenomena dengan perkongsian AC Mizal tersebut apatah lagi keadaan ekonomi negara ketika ini kurang baik.
“Persatuan restoran mamak sedunia telah bersepakat menambah satu lagi menu iaitu roti tisu. Menu tersebut pasti akan laku,” tulis warganet. – Agensi