ACAMM kongsi strategi tangani pandemik

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) telah menghoskan ASEAN Chiefs of Army Multilateral Meeting (ACAMM) ke-21 secara maya yang dipengerusikan oleh Pemerintah TDDB, Brigedier Jeneral Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini, mesyuarat yang bertemakan Cohesion and Responsive of ASEAN Armies to Address the Dynamic of Regional Security Challenges Following New Norms from COVID-19 Pandemic, telah dihadiri oleh ketua-ketua Tentera Darat Negara ASEAN, Duta Besar dan Mutlak Republik Kesatuan Myanmar, Tuan Yang Terutama U Htin Lynn serta penasihat dan atase pertahanan serta perwakilan diplomat di Negara Brunei Darussalam.

Semasa ucapan pembukaan, pemerintah TDDB telah menyampaikan penghargaannya kepada ketua-ketua tentera darat ASEAN yang turut serta dalam mesyuarat tersebut dan mengalu-alukan ketua-ketua Tentera Darat yang baru dilantik dari Filipina, Malaysia, Laos, Thailand dan Angkatan Darat Rakyat Vietnam. Mesyuarat kemudian diteruskan dengan pembentangan dari setiap negara mengenai strategi, perkongsian amalan terbaik dan peranan tentera darat dalam menangani wabak COVID-19.

Pemerintah TDDB kemudian menekankan pendekatan seluruh negara dalam menangani pandemik dengan jayanya dan menggariskan beberapa inisiatif hala tuju dan cadangan.

Mesyuarat diakhiri dengan upacara penyerahan pengerusi ACAMM ke-22 kepada Republik Kesatuan Myanmar yang juga akan menghoskan ASEAN Armies Rifle Meet (AARM) ke-30, ASEAN Sergeant Majors Annual Meeting (ASMAM) ke-10 dan ASEAN Armies Information Sharing Workshop (AAISW) ke-3.

Pemerintah TDDB semasa penyerahan pengerusi ACAMM kepada TYT U Htin Lynn. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan