Acara 3 minggu Hari Kesihatan Mental berakhir

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Acara Hari Kesihatan Mental Sedunia selama tiga minggu yang dianjurkan oleh CureHeart, Global Shapers Community BSB, PEKA Consultant dan Clarity Sdn Bhd berakhir pada 24 Oktober lalu dengan majlis penutup yang berlangsung secara maya.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan, Kementerian Kesihatan, Pengiran Dr Haji Mohd Khalifah bin Pengiran Haji Ismail di samping tetamu khas, ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Agnete Johnsgaard Lewis; Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan Diraja Brunei (RB), Kapten Haji Khalidkhan bin Haji Asmakhan; dan kurator pengasas Global Shapers Community Brunei Darussalam, Shaun Hoon.

Majlis dimulakan dengan ucapan yang disampaikan oleh tetamu kehormat sebelum ucapan pengarah bersama acara, Awang Syahmi Zulfadhli bin Abdullah @ Mims Sidi yang mengetengahkan hasil utama yang diperolehi sepanjang acara tiga minggu itu.

Selepas majlis penutup, forum bertajuk COVID-19 dan Fragilities Unmasked dijalankan melalui Zoom dan turut disiarkan secara langsung di YouTube.

Forum berkenaan membincangkan isu-isu berkaitan isu-isu sosial dan sistem kesihatan mental yang rapuh, membandingkan strategi kesihatan mental antara perspektif Brunei, Filipina, dan Malaysia.

Minggu ketiga acara berkenaan juga dipenuhi dengan bengkel seperti Meditasi, Terapi Seni dan Dialectical Behavioural Therapy di samping kumpulan sokongan seperti Addiction Recovery, Peer to Peer dan Toxic Families di mana peserta belajar dan terlibat dalam amalan kesihatan mental yang sihat.

Antara yang mengikuti bengkel Dialectical Behavioural Therapy. – Gambar serahan Global Shapers Community BSB