Acara BDF perlu lebih kreatif

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mac – Festival Disember Brunei (BDF) merupakan acara baharu yang dianjurkan oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Jabatan Kemajuan Pelancongan yang mengetengahkan aktiviti-aktiviti berunsurkan perkongsian swasta awam (PPP) yang berjalan dengan baik tanpa memerlukan sebarang perbelanjaan daripada kerajaan.

Dalam hubungan itu, Jabatan Kemajuan Pelancongan bertindak sebagai platform sahaja dengan memberikan peluang kepada orang-orang ramai untuk menyertai dan menganjurkan berbagai-bagai acara sebagai penganjur acara di mana mereka akan mencari peserta-peserta yang akan menyertai acara berkenaan.

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong ketika menjawab persoalan mengenai program pelancongan BDF yang dikemukakan oleh dua orang ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon dan Yang Berhormat Haji Umarali bin Esung.

BDF 2018 merupakan siri kedua yang mana ia dilaksanakan buat kali pertama pada 2017 telah menunjukkan kejayaan yang di luar dugaan di mana jumlah aktiviti atau acara yang dianjurkan dengan 60 acara diadakan pada 2018 iaitu meningkat daripada 40 acara pada 2017, tambahnya lagi semasa MMN yang bersidang bagi hari kelima di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

Beliau menjelaskan lanjut bahawa penganjuran BDF bukan sahaja bertujuan untuk menarik pelancong untuk berkunjung ke Brunei tetapi untuk menggalakkan penduduk Brunei untuk bercuti di negara sendiri dengan mengikuti pelbagai acara-acara menarik yang dianjurkan sepanjang Disember.

Menerusi penganjuran pelbagai acara pada festival itu, ia menjadikan Brunei lebih menarik kepada penduduk dalam negara dan juga pengunjung-pengunjung dari luar negara di mana mereka turut berkunjung ke negara ini bagi sama-sama mengambil bahagian dalam a-cara yang diadakan seperti kejohanan e-sukan, pertandingan dart dan perlumbaan perahu.

Beliau menekankan lagi bahawa penganjuran BDF khususnya bagi pihak pengurus acara, me-reka tidak memerlukan peruntukan daripada kerajaan tetapi mereka hanya perlu didaftarkan untuk festival berkenaan di mana mereka dapat memberigakan acara mereka supaya ia mendapat sambutan dengan Jabatan Kemajuan Pelancongan bertindak sebagai pengantara dengan autoriti-autoriti yang berkenaan untuk mendapatkan kebenaran-kebenaran tertentu supaya mereka dapat menjalankan aktiviti mereka tanpa berkunjung ke pelbagai jabatan tetapi diambil alih oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali berkata lagi bahawa penganjuran BDF memberikan manfaat kepada pelbagai pihak termasuk pihak penerbangan, perhotelan dan agensi-agensi pelancongan serta juga orang ramai di mana ia memberikan mereka peluang untuk menerokai bidang keusahawanan dengan menganjurkan acara-acara menarik sepanjang festival berkenaan di mana ia melibatkan aktiviti-aktiviti dianjurkan di keempat-empat daerah.

Beliau menyatakan bahawa festival itu akan terus ditingkatkan dengan lebih banyak peserta serta acara-acara baharu yang menarik akan diperkenalkan yang bukan sahaja bercorak keseronokan sahaja tetapi juga akan memperkenalkan acara-acara dalam sektor pendidikan teknologi.

Beliau menerangkan bahawa pada festival tahun ini, pertandingan coding akan diadakan di mana ia akan mengajak penyertaan orang ramai terutamanya orang muda dan pelajar-pelajar peringkat rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi untuk menyertai pertandingan berkenaan yang akan menguji kebolehan mereka dalam bidang sains komputer.

“Kementerian sudah berunding dengan Universiti Teknologi Brunei untuk membuat konsep pertandingan coding ini dan ia diadakan untuk tujuan peserta dalam negara tetapi tidak mustahil, ia akan berkembang untuk menarik minat peserta luar negara untuk menyertai-nya.”

Dalam penganjuran acara-acara menarik, Yang Berhormat Dato berkata, pihak pengurus acara harus menganjurkan acara-acara yang bukan sahaja menarik tetapi juga kreatif supaya ia mampu menarik lebih banyak pengunjung untuk berkunjung atau menyertai acara-acara yang dianjurkan oleh mereka.