Acara berbasikal trek kembali

IPOH, 9 Ogos – Acara berbasikal trek kembali dipertandingkan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2018 bulan depan selepas Velodrom Rakyat di sini mendapat sijil homologation atau pengiktirafan daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Perak Howard Lee Chuan How yang telah menerima sijil itu berkata acara tersebut kembali dipertandingkan setelah kesatuan berkenaan mengesahkan veldrom terbabit selamat digunakan.

“Kesemua anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri juga telah mempersetujui acara tersebut dipertandingkan semula.

“Trek di velodrom telah diubah suai dan sudah diperbaiki sehingga boleh digunakan. Saya gembira dan berharap acara trek berbasikal dapat ditonjolkan sekali gus menjadi acara terbaik dalam sejarah Sukma,” katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di sini, hari ini.

Pada 3 Ogos lepas, Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill dilaporkan berkata beliau telah ke Switzerland untuk mengambil sijil itu daripada UCI selepas kesatuan berkenaan mengesahkan velodrom tersebut mematuhi semua syarat yang ditetapkan.

Howard Lee Chuan How (dua kanan) dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Tan Kar Hing (kiri) ketika menghadiri majlis perasmian Wrapup Promosi Sukma ke-19 di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Ipoh pada 3 Ogos lalu. – Bernama

Pada 5 Jun lepas, Lee mengumumkan acara berbasikal trek akan digugurkan ekoran trek Velodrom Rakyat tidak selamat digunakan.

Dalam pada itu, Lee berkata Perak ialah kontinjen pertama menjalani ujian pradoping untuk bagi Sukma 2018 bagi memastikan mereka tidak menyalah guna bahan terlarang dan sekiranya didapati positif sebarang bahan terlarang, mereka akan digugurkan.

Katanya ketua jurulatih yang ingin memberikan nutrisi tambahan kepada atlet perlu merujuk kepada Majlis Sukan Negeri terlebih dahulu bagi memastikan tiada bahan terlarang dalam nutrisi tersebut.

Kesemua 39 venue pertandingan bagi temasya Sukma edisi ke-19 yang berlangsung di Perak dari 11 hingga 22 Sept ini akan dilengkapi dengan kemudahan untuk atlet menjalani ujian doping yang dilakukan secara rawak semasa berlangsungnya temasya dwitahunan itu. – Bernama