Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mei – Acara keagamaan terus giat diadakan di negara ini dalam menyemarakkan lagi suasana bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.
Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan kerjasama Masjid Pengiran Muda Abdul Mateen, Kampung Mulaut juga tidak ketinggalan untuk mengadakan Majlis Khatam Al-Quran Pegawai-pegawai dan Kakitangan Wanita KHEU yang telah diadakan di Masjid Pengiran Muda Abdul Mateen, pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya memimpin bacaan Surah Al-Fatihah ialah isteri Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Dayang Nahriah binti Haji Hasbi.
Majlis diikuti dengan acara khatam Al-Quran dan bacaan takhtim secara beramai-ramai dan disusuli Doa Khatam Al-Quran.


Sementara itu, Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pegawai Agama Kanan, Unit Pembaharuan Perkhidmatan Awam, Jabatan Pentadbiran, KHEU, Pengiran Hajah Norasmawati binti Pengiran Haji Ahmad. Majlis berkenaan merupakan salah satu syiar untuk memakmurkan masjid-masjid di negara ini dan meningkatkan amal ibadat serta merebut ganjaran yang besar dalam bulan Ramadan melalui amalan bertadarus Al-Quran.
Di samping itu, ia dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan pegawai dan kakitangan wanita KHEU dengan ahli qariah masjid khususnya Muslimah masjid.