Acara keagamaan rai Hari Pos Sedunia

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Bersempena Sambutan Hari Pos Sedunia 2019, Jabatan Perkhidmatan Pos, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi telah mengadakan Majlis Sembahyang Sunat Hajat, Membaca Surah Yasin, Tahlil, Doa Selamat dan seterusnya sembahyang Fardu Asar berjemaah yang diadakan pada hari ini, bertempat di Masjid Ar-Rahman, Kampung Tanjung Bunut.

Hadir pada majlis itu ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof; Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi, Keselamatan Siber, Strategi dan Korporat) di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Hairul Mohammad Daud bin Haji Abdul Karim; Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi (AITI), Pengiran Haji Mohd Zain bin Pengiran Haji Abdul Razak; Timbalan Ketua Pos Agung, Dr Rosdi bin Haji Abdul Aziz; ketua-ketua jabatan dan pihak berkuasa, ketua-ketua bahagian dan pegawai-pegawai serta kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Di majlis tersebut, timbalan ketua pos agung juga berkesudian menyampaikan sumbangan derma dan wakaf kepada Imam Masjid Ar-Rahman, Awang Asbinin bin Haji Zainal. Majlis itu adalah sebagai salah satu aktiviti bagi memperingati Hari Pos Sedunia yang jatuh pada setiap 9 Oktober dan disambut oleh pengendali-pengendali pos di seluruh dunia.

Tahun ini, tema Sambutan Hari Pos Sedunia ialah ‘Delivering Development’ yang menggambarkan usaha berterusan sektor perkhidmatan pos untuk kekal relevan menghadapi perubahan dan perkembangan sejagat. Perasmian Sambutan Hari Pos Sedunia bagi negara ini akan diadakan pada 30 Oktober ini di Hotel StarLodge, Jerudong.

Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi bersama jemaah lain ketika menunaikan Sembahyang Sunat Hajat bersempena dengan Sambutan Hari Pos Sedunia 2019.