Acara keagamaan semarak pentas perayaan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Julai – Bagi memeriahkan dan menyemarakkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-71, Pusat Dakwah Islamiah semalam mengadakan persembahan bercorak keagamaan di pentas perayaan berhadapan Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja, di ibu negara.

Hadir menyaksikan persembahan ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Roslan bin Haji Taja’ah; Pemangku Pengarah Pusat Dakwah Islamiah, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh yang juga pengerusi persembahan, pegawai-pegawai kanan KHEU dan pegawai-pegawai serta kakitangan Pusat Dakwah Islamiah.

Dengan tema persembahan ‘Taat Kepada Ulul Amri,’ acara diisikan dengan persembahan tausyeh dan sketsa lakonan oleh pegawai-pegawai dan kakitangan Pusat Dakwah Islamiah.

Awang Roslan bersama tetamu-tetamu lain yang hadir pada acara persembahan itu.
Awang Roslan bersama tetamu-tetamu lain yang hadir pada acara persembahan itu.
Persembahan sketsa dari Pusat Dakwah Islamiah.
Persembahan sketsa dari Pusat Dakwah Islamiah.

Ia juga diserikan dengan persembahan deklamasi sajak oleh Daie Pusat Dakwah Islamiah, Haji Amin bin Haji Mohd Yassin dan Pegawai Perkembangan Agama, Hajah Rogayah binti Begawan Pehin Katib Dato Paduka Haji Abdul Wahid.

Persembahan merupakan sebahagian daripada aktiviti tahunan jabatan dan penglibatan Pusat Dakwah Islamiah untuk sama-sama memeriahkan dan menyemarakkan lagi suasana sambutan.

Acara persembahan diakhiri dengan lagu ‘Hari Keputeraan’ oleh warga pusat itu.