Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 6 Okt – Bagi menyemarakkan lagi persembahan pentas perayaan bagi Daerah Tutong bersempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Tutong telah mengadakan persembahan bercorak keagamaan di kawasan tanah lapang berhadapan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, di sini, semalam.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Umarali bin Esung.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Allah Peliharakan Sultan yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong, Haji Mahri bin Haji Metusin.
Beberapa persembahan bercorak keagamaan telah pun dijalankan yang mana persembahan pertama adalah persembahan lagu-lagu Sempena Jubli Emas oleh guru-guru agama Daerah Tutong dan seterusnya persembahan lagu nasyid dan lagu dakwah oleh Persatuan Saudara-saudara Baru Tutong (PESATU).
Persembahan turut dimeriahkan lagi dengan persembahan tausyeh daripada belia-belia masjid Daerah Tutong, persembahan pantomim oleh belia-belia mualaf Kampung Bukit dan persembahan dikir oleh Muslimah Daerah Tutong.
Bagi menarik perhatian pengunjung, persembahan turut mengadakan kuiz spontan kepada orang ramai yang hadir.
Pentas persembahan bagi Daerah Tutong akan diadakan lagi pada malam esok yang akan dikendalikan oleh Zon Aktif. Sementara petak gerai-gerai jualan juga disediakan sehingga penghujung bulan ini.
Orang ramai adalah dialu-alukan berkunjung untuk menyaksikan beberapa persembahan pentas bercorak keagamaan dan jualan daripada pengusaha tempatan selain dapat memeriahkan lagi Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Menaiki Takhta.