Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Majlis Perundingan Kampung Bunut Perpindahan, Ikatan Persatuan Belia Bunut (IKERAB) petang tadi telah menganjurkan Majlis Membaca Surah Yasin, Tahlil dan Doa Kesyukuran sempena Ulang Tahun ke-70 Kampung Bunut Perpindahan yang berlangsung di Masjid Kampung Bunut.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad. Turut hadir ialah Pemangku Ketua Kampung Bunut Perpindahan, Haji Durahim bin Hassan.
Bacaan surah Yasin telah diketuai oleh Awang Nazri bin Haji Karim manakala bacaan tahlil dipimpin oleh Awang Mohd Waqiyuddin bin Haji Damit dan Doa Tahlil dibacakan oleh Awang Ibnu Said bin Haji Alim Saidi.
Sementara itu bacaan Doa Kesyukuran dibacakan oleh Awang Fakirin bin Dato Paduka Haji Zainal.
Acara tersebut merupakan sebagai memperingati detik sejarah Kampung Bunut Perpindahan yang mencapai usia 70 tahun di mana ia merupakan rancangan perpindahan yang ulung bagi Negara Brunei Darussalam iaitu rancangan perpindahan dari kampung air ke darat.
Bersempena ulang tahun ke-70 Kampung Bunut Perpindahan, akan diadakan Hari Keluarga di kawasan lapang dan padang Sekolah Rendah Bendahara Sakam, Bunut pada 2 hingga 4 Disember nanti.