Acara keraian Curtin meriah

MIRI, MALAYSIA, 9 OKT – Curtin University Malaysia (Curtin Malaysia) telah meraikan ulang tahunnya yang ke-20 bersama lebih 120 orang Alumni Curtin pada Majlis Kepulangan Alumni Ulang Tahun ke-20 Curtin Malaysia yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Miri, baru-baru ini.

Alumni berkenaan termasuk mereka yang menamatkan pengajian di Curtin Malaysia dan kampus utama Curtin di Perth, barat Australia, menurut kenyataan yang dikeluarkan Curtin Malaysia.

Hadir pada majlis makan malam berkenaan ialah Pro Canselor Curtin Malaysia, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan; Pro Naib Canselor dan Ketua Eksekutif, Profesor Jim Mienczakowski; Timbalan Pro Naib Canselor, Profesor Beena Giridharan; Ketua Pegawai Operasi, Pieter Pottas dan Timbalan Naib Canselor Antarabangsa Curtin University, Profesor Madya Simon Leunig serta beberapa dekan fakulti dan kakitangan pengurusan.

Antara tarikan majlis ialah penyampaian anugerah pencapaian alumni kepada tiga alumni terkenal yang disempurnakan oleh Profesor Madya Leunig.

Pada majlis itu, Joyceanna Hong Jia Ming yang merupakan graduan kejuruteraan mekanikal pada 2012 telah menerima Anugerah Profesional Alumni Curtin Malaysia yang mengiktiraf keunggulan, kepimpinan dan pencapaian cemerlang dalam profesion atau industri.

Graduan Sarjana Sains dalam Kejuruteraan Elektrik, Stanly Ampah Barak yang menamatkan pengajian awal tahun ini pula menerima Anugerah Usahawan Alumni Curtin Malaysia yang mengiktiraf inisiatif dan sumbangan cemerlang kepada inovasi atau idea-idea baharu kreatif.

Sementara itu, Anugerah Impak Sosial Curtin Malaysia, bagi sumbangan dan komitmen cemerlang kepada mewujudkan perubahan sosial yang positif dan memperbaiki kehidupan orang lain, telah diberikan kepada graduan Kejuruteraan Elektrik dan Komunikasi, Rexy Prakash Chacko.

Para pemenang anugerah bergambar ramai bersama eksekutif-eksekutif pengurusan kanan.