Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 April – Susulan kebakaran Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Mentiri baru-baru ini yang meranapkan sebahagian besar masjid itu, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) mengambil inisiatif untuk menggunakan Dewan Kemasyarakatan Mukim Mentiri untuk keperluan jemaah di kawasan itu dan sekitarnya mengerjakan ibadah.
Dalam sidang media yang diadakan di Balai Bomba dan Penyelamat Mentiri hari ini, Setiausaha Tetap di KHEDN, Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof mengatakan dewan kemasyarakatan itu dijangka dapat menampung 800 jemaah dan kem tambahan juga didirikan untuk menampung sehingga 1,400 orang jemaah.
Manakala bagi kegunaan majlis-majlis persendirian seperti majlis perkahwinan pada tarikh-tarikh yang telah pun ditempah, inisiatif ini tidak akan mengganggu kelancaran rancangan yang sudah dijadualkan kerana kerajaan sudah mengambil maklum akan kepentingan acara-acara tersebut dan mana-mana tempahan yang telah dibuat dan dibenarkan tidak akan terjejas, katanya.
Bagi tarikh-tarikh yang telah ditempah, jemaah disarankan menggunakan balai-balai ibadat berdekatan seperti Surau Balai Bomba dan Penyelamat RPN Kampung Mentiri, Masjid Kampung Mentiri, Masjid Kampung Sungai Besar dan Masjid Kampung Sungai Buluh.

Menurut Awang Abdul Mutalib lagi, KHEDN melalui Jabatan Daerah Brunei dan Muara dan Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Sekolah-sekolah turut membukakan inisiatif bagi kebenaran menggunakan Dewan Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja, Kampung Mentiri sebagai tempat alternatif untuk acara-acara keramaian, khususnya majlis perkahwinan sekiranya diperlukan.
Manakala Setiausaha Tetap di KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharajalela Haji Yussof mengatakan pembinaan semula masjid masih lagi dalam perbincangan memandangkan kerosakan yang sangat besar perlu ditangani dengan teliti.
Walau bagaimanapun, tapak masjid akan dikekalkan dan pihak terlibat akan sedaya upaya mengusahakan pembinaan atau pembaikan semula, namun tempoh siapnya belum lagi dipastikan, katanya.