Acara korban semarak aidiladha

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Hari Raya Aidiladha terus disemarakkan dengan acara-acara korban sunat oleh pelbagai pihak sama ada secara individu, persatuan mahupun daripada pelbagai agensi kerajaan di negara ini.

Kelmarin, acara seumpamanya telah diadakan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan jabatan-jabatan di bawahnya di Balai Ibadat, Kampung Sibut, Mukim Amo, Daerah Temburong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan isteri.

Pada majlis tersebut, lima ekor sapi telah dikorbankan, di mana seramai 58 ketua keluarga asnaf fakir miskin, 111 orang tanggungan mereka dan 35 asnaf mualaf yang terpilih di Mukim Amo, peserta korban, para jemputan dan jawatankuasa telah menerima daging korban yang disampaikan oleh tetamu kehormat majlis dan isteri.

Sejurus selepas itu, majlis diteruskan lagi dengan pengagihan daging-daging korban ke rumah kediaman enam buah ketua keluarga asnaf mualaf yang berdekatan yang diketuai oleh tetamu kehormat majlis dan isteri.

Pada acara berasingan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan jabatan-jabatan di bawahnya turut mengadakan majlis seumpamanya di Dewan Digadong, kementerian berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Seramai 330 orang penerima yang terdiri daripada golongan asnaf dan anak-anak yatim serta kakitangan kementerian berkenaan dan JAPEM telah menerima agihan daging korban yang disampaikan oleh tetamu kehormat dan Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah. Majlis serupa turut diadakan serentak di Dewan Jawatan Dalam Pusat Sejarah Brunei dan Dewan Bina Diri, Pusat Pembangunan Belia.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama ketika menyerahkan agihan daging korban kepada salah seorang penerima.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyerahkan agihan daging korban kepada salah seorang penerima.