Oleh Nurdiyanah R.
TUTONG, 21 JUN – Demi memperkasa semangat kesukanan dalam jiwa seluruh lapisan masyarakat di negara ini, Kumpulan Tutong Runners buat julung kalinya telah menganjurkan acara kejohanan larian Tutong Runner’s Track Event 2022 di Kompleks Sukan Tutong, baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada acara yang melibatkan 60 peminat tegar sukan larian dari seluruh negara itu ialah Pemangku Ketua Kampung Sengkarai, Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan yang sekali gus menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Acara seawal 6 pagi itu telah menyaksikan penyertaan dalam lingkungan umur 14 hingga 60 tahun bagi kategori-kategori merangkumi larian sejauh 10,000 meter, 5,000 meter dan 1,500 meter yang dihakimi oleh ahli-ahli Persatuan Olahraga Brunei Darussalam (BDAF).
Bagi larian sejauh 10,000 meter, bahagian lelaki terbuka dimenangi oleh Ettienne Coetzer, Awang Amirul Hamdi bin Jamil dan Awang Mohd Sukri bin Alek Jefferi; manakala Sea Kong Meng, Awang Ramlan bin Maarof dan Haji Kamalul Bahrin bin Haji Ali Hassan selaku pemenang-pemenang bagi bahagian lelaki veteran.
Penerima hadiah bagi wanita terbuka larian sejauh 10,000 meter pula ialah Erin William, Dayang Nurul Mahirah binti Miramid dan Dayang Husna binti Abdullah.

Sementara itu, larian sejauh 5,000 meter bagi lelaki terbuka dimenangi oleh Awang Ahmad Yazid, Awang Muhd Rahmat Hidayat bin Awang Alladin dan Awangku Nordinie Ayasy bin Pengiran Ibrahim. Bagi lelaki veteran dimenangi oleh Haji Busu bin Haji Nudin, Awang Muhd Ali bin Haji Hamran dan Awang Ramlan bin Maarof.
Pemenang wanita terbuka untuk larian sejauh 5,000 meter ialah Dayang Siti Nurhafizul Shazana binti Hamiroldzam, Dayang Siti Nur Amirah binti Haji Zaini dan Dayang Nuraimi Mahirah binti Haji Ismail. Hadiah bagi wanita veteran pula dimenangi oleh Cecilia Maksimon, Bay Aleeysia dan Dayang Husna binti Abdullah.
Manakala itu, kategori larian sejauh 1,500 meter telah dimenangi oleh Awang Mohd Abdul Azim bin Haji Sijim, Awangku Khairul Amry bin Pengiran Azmi dan Awang Mohd Efwan di bawah lelaki terbuka.
Bagi wanita terbuka dimenangi oleh Dayang Nur Asyura binti Haji Rosli, Dayang Nur Aliah binti Haji Rosli dan Dayang Evy Akmal Aqillah binti Haji Sallahuddin
Pengurus Pasukan Tutong Runners, Awang Mazli bin Mashadi selaku penganjur kejohanan berkenaan mengungkapkan kesyukuran dengan terlaksananya acara yang sememangnya dapat menjadi salah satu platform terbaik tidak kira peringkat usia untuk menonjolkan bakat mereka dalam bidang sukan larian, di samping menimba pengalaman berharga bersama membawa semangat jiwa kesukanan dalam kehidupan sehari-hari.
Tambahnya, dengan adanya acara sedemikian, ia secara langsung memberi kemudahan kepada agensi-agensi yang berkepentingan untuk mengenal pasti potensi atlet-atlet tanah air yang boleh diserapkan dalam pasukan kebangsaan.