Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Sebagai usaha berterusan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai penyakit jantung dalam kalangan masyarakat, Pusat Promosi Kesihatan (HPC), Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Gleneagles JPMC telah mengadakan acara Brunei Run 2023 sempena Hari Jantung Sedunia 2023 semasa Program Bandarku Ceria di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan sama-sama menyertai acara larian itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin; Ketua Pegawai Eksekutif Gleneagles JPMC, Dr Peter Tay Boon Chye, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan dan Gleneagles JPMC.
Terdahulu, acara dimulakan dengan pelepasan peserta bagi pertandingan larian sejauh 10 kilometer (km) terbuka lelaki dan perempuan.
Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Dr Peter Tay yang menyatakan bahawa penyakit kardiovaskular terus menjadi penyebab kematian utama di seluruh dunia
dan Brunei Darussalam juga tidak terkecuali daripada masalah itu.
Pada masa ini, tambahnya, kita juga menyaksikan kejadian tinggi penyakit diabetes, hipertensi, hiperlipidemia dan obesiti iaitu yang dipanggil sebagai penyakit gaya hidup.
Oleh itu, untuk menangani masalah itu, ilmu pengetahuan dan pendidikan adalah amat mustahak. Ke arah itu, Gleneagles JPMC telah bekerjasama dengan HPC dalam program-program kemasyarakatannya iaitu Workplace and Health (WAH) dan Happy Environment and Lifestyle (HEAL) dengan membawa siri ceramah, pendidikan kesihatan dan pemeriksaan kepada sektor awam dan juga warga emas negara.
Beliau menambah bahawa acara larian itu merupakan sebahagian daripada komitmen tahunan mereka bagi Hari Jantung Sedunia di mana bersama-sama dengan sokongan Kementerian Kesihatan, merupakan bukti kepada usaha mereka bersama dalam mempromosikan gaya hidup yang sihat dan mempromosikan kesihatan jantung.
Majlis diteruskan dengan sesi memanaskan badan dan kemudian pelepasan acara fun run sejauh 3km yang disempurnakan dan diketuai oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew.
Pada majlis itu, Yang Berhormat Dato juga diberikan penerangan dan menyaksikan pameran kesihatan dan beberapa aktiviti yang dijalankan sempena Hari Jantung Sedunia 2023 termasuk aktiviti kekeluargaan yang dilaksanakan oleh pusat-pusat kecergasan program WAH dan HEAL, HPC dan Gleneagles JPMC.
Acara itu juga menyokong inisiatif BN on the Move: Cabaran 80 Bilion Langkah Bersama di mana dengan adanya acara larian, walkaton dan pameran itu, Kementerian Kesihatan berharap ia akan dapat meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan jantung dalam kalangan masyarakat.