BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mac – Lumba Perahu Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam (SKBD) ke-3 2017 akan diadakan pada Hari Ahad, 26 Mac 2017, acara sukan itu akan bermula pada pukul 8 pagi bertempat di Kompleks Sukan Air Serasa Muara.
Di samping empat kategori Lumba Perahu Tradisi SKBD ke-3 2017 yang akan dipertandingkan dan akan disertai oleh sembilan buah pasukan jemputan.
Terdapat juga lapan lagi kategori Lumba Perahu SKBD ke-3 2017 akan dipertandingkan, antaranya adalah kategori lumba perahu yang terbuka kepada pasukan-pasukan tempatan, kementerian-kementerian, jemputan syarikat swasta dan pasukan wanita tempatan.
Sebelum berlangsungnya acara lumba perahu tersebut, Mesyuarat Pengurus-Pengurus terlebih dahulu akan diadakan pada hari Ahad, 19 Mac 2017.
Mesyuarat tersebut akan bermula pada pukul 9 pagi dan bertempat di Dewan Kuliah Stadium Negara Hassanal Bolkiah. Di dalam mesyuarat itu nanti, pasukan-pasukan yang menyertai akan diberikan taklimat mengenai format perlawanan dan juga keselamatan. Manakala undian bagi lorong dan perahu juga akan dijalankan pada hari tersebut.