Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Sept – Biro Wanita Persatuan Melayu Kedayan (PEMEDAYAN) menganjurkan ‘Acara Masakan Kedayan’ atau masakan tradisional dan hidangan yang eksklusif masyarakat Kedayan yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Mukim Sengkurong, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat pada acara itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan isteri.
Acara tersebut dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Presiden PEMEDAYAN, Haji Zainal Abidin bin Tinggal diikuti oleh ucapan Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan yang antara lain menyatakan kepentingan dalam mendedahkan acara seumpamanya.
Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan kemudiannya menyempurnakan pembukaan rasmi acara berkenaan.
Acara Masakan Kedayan ini mempamerkan pelbagai jenis hidangan makanan Kedayan dan kaedah masakan tradisional yang digunakan pada zaman dahulu ketika tidak ada banyak kemudahan seperti yang ada pada hari ini.
Salah satu acara utama ialah pertandingan ‘menumpah ambuyat’ iaitu diuji dengan cara membuat hidangan berasaskan sagu.
Sebelum itu, Yang Berhormat Dato dan isteri mencuba sendiri ‘menumpah ambuyat’, yang menambahkan lagi seri pada acara tersebut.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan juga ditunjukkan dalam lawatan ringkasnya itu gerai-gerai yang memaparkan peralatan dapur yang digunakan oleh masyarakat Kedayan pada zaman dahulu dan pelbagai jenis makanan dan hidangan tradisional mereka.