Acara mengetam padi bermula

Oleh Sim Y. H.

Gambar KSSUP

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Ahli-ahli jawatankuasa tertinggi projek pembukaan kawasan penanaman padi secara komersial berkeluasan 500 hektar, kawasan Kandol, Daerah Belait, kelmarin, telah mengadakan acara mengetam padi di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Kandol, Daerah Belait.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), di sini, acara mengetam padi itu merupakan kesinambungan kepada Majlis Perasmian Penanaman Padi di KKP Kandol (Fasa 1) yang telah berkenan disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 28 Oktober 2019 .

Hadir pada acara berkenaan ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar selaku pengerusi-pengerusi bersama jawatankuasa tertinggi berkenaan.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin selaku pengerusi jawatankuasa operasi dan pelaburan bagi projek tersebut dan juga bagi mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II (Kedua) Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku pengerusi-pengerusi bersama jawatankuasa tertinggi tersebut serta Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke bin Haji Mohsin selaku pengerusi jawatankuasa teknikal dan infrastruktur bagi projek itu.

Acara juga dihadiri oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput dan ahli-ahli jawatankuasa tertinggi projek yang terdiri daripada setiausaha-se-tiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap serta para pengarah kementerian-kementerian yang berkenaan.

Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan ketika memulakan acara mengetam padi.

Selain itu, acara juga dihadiri sama oleh pegawai-pegawai kanan KSSUP, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Pembangunan dan Darussalam Assets Sdn Bhd serta penghulu Mukim Bukit Sawat dan ketua-ketua Kampung Bukit Sawat dan Kampung Merangking.

Acara dimulakan dengan sesi taklimat ringkas mengenai peringkat dan perkembangan pertumbuhan padi jenis berhasil tinggi iaitu Sembada188 yang telah ditanam di KKP Kandol. Penerangan telah disampaikan oleh Pengurus Am, Syarikat Paddyco Sdn Bhd, Dayang Fuziah binti Haji Hamdan.

Acara mengetam padi telah didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Pekan Seria, Haji Aminorddin bin Haji Mohd Yussof dan diteruskan dengan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi, Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf dan Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke dijemput untuk menaiki jentuai (combine harvester) bagi memulakan acara mengetam padi di ladang tersebut.

Selepas acara mengetam padi selesai dijalankan, pengerusi-pengerusi bersama, jawatankuasa tertinggi projek berserta ahli-ahli jawatankuasa juga meninjau perkembangan perlaksanaan projek pembangunan infrastruktur KKP Kandol (Fasa 1).

Projek itu merupakan salah satu daripada usaha kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke arah meningkatkan lagi keluaran serta tahap sara diri bekalan beras di Negara Brunei Darussalam, dalam memastikan sekuriti makanan bekalan beras negara adalah terjamin.

Sebelum acara mengetam padi dijalankan, jawatankuasa tertinggi projek turut berkesempatan membuat lawatan ke beberapa tapak perusahaan yang ditempatkan di kawasan berhampiran Mukim Bukit Sawat dan Merangking, Daerah Belait.