Acara Riadah Berbasikal Budayakan Rakyat

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani

Setiap tahun selepas hari kemuncak Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, pelbagai acara susulan turut diadakan seperti majlis keagamaan, kemasyarakatan, kenegaraan, acara untuk belia dan tidak ketinggalan acara sukan.

Menurut Ketua Kesatuan Ibu Bapa PKBN (Al-Uswah), Haji Sohaili bin Haji Mohid, ketika ditemui Media Permata berkata, beliau bersama seluruh Kesatuan Ibu Bapa PKBN tidak ketinggalan memberi komitmen dan sokongan padu pada usaha seperti ini sebagai tanda kesyukuran dan bertuah menjadi rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang merdeka lagi berdaulat ini.

Bagi memeriahkan acara Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke-36, telah diadakan satu acara kayuhan berbasikal yang diberi nama ‘Acara Riadah Berbasikal Semangat Kebangsaan 2020,’ yang berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan pada 1 Mac lalu.

Haji Sohali turut menambah bahawa acara yang diadakan tersebut amat signifikan di mana ia menunjukkan jalinan mesra di antara seorang raja dengan rakyat, bahkan para pelancong turut sama-sama datang untuk menyaksikan sendiri acara tersebut. Acara tersebut juga telah menarik minat dan penyertaan dari golongan dewasa, belia, orang-orang kurang upaya, para belia dan bahkan kanak-kanak.

Selain daripada acara berbasikal, turut diadakan persembahan senaman rutin yang dijalankan oleh anak-anak belia pelatih Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) turut memeriahkan lagi acara tersebut.

Orang ramai yang turun untuk menyertai aktiviti riadah berbasikal yang terdiri dari semua lapisan masyarakat.

Persembahan senaman rutin yang dijalankan oleh anak-anak belia pelatih Program Khidmat Bakti Negara (PKBN).

Pada hari berkenaan ibu bapa dan keluarga para pelatih turut hadir menyaksikan anak-anak mereka membuat persembahan dan ini menjadi kebanggaan kita sebagai pemangkin masa depan negara diambang wawasan negara 2020.

Haji Sohali turut menyatakan penghargaan kepada segala perancangan, persiapan dan peruntukkan yang dibuat oleh pihak-pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan juga pihak swasta untuk menanamkan sikap kasih pada raja, agama, negara dan keamanan yang kita kecapi selama 36 tahun ini.

Selain daripada itu, aktiviti riadah berbasikal tersebut dapat memberikan manfaat kepada semua yang mana ia menggalakkan kita supaya kekal aktif bersenam dan mengajar kita supaya lebih berdisiplin seperti pakaian sesuai, mengenakan topi keledar yang khas, membawa bekal minuman serta mematuhi undang-undang di jalan raya di samping bersama-sama menjaga keselamatan.

Menurut Haji Sohali lagi, diharap supaya acara berbasikal ini dapat memberikan kesedaran kepada kita untuk bersama-sama menjaga kebersihan, keselamatan serta menggesa kita supaya tidak menjadi pengotor dan pemugut dengan kemudahan-kemudahan yang telah disediakan.

Ketua Kesatuan Ibu Bapa PKBN ini turut memberi peringatan untuk menjamin kesihatan dan kesejahteraan semua bukan hanya di dalam negara kita sahaja, malah juga merangkumi seluruh dunia. Apatah lagi dalam situasi yang terjadi sekarang dengan penularan penyakit koronavirus atau dikenali sebagai COVID-19.

Di samping itu, banyak prasarana telah disediakan bagi ‘membisaikan’ lagi Bandar Seri Begawan seperti tandas yang bersih, tempat pembuangan sampah yang cukup, keberadaan pegawai-pegawai keselamatan dan kakitangan Jabatan Alam Sekitar, Taman Rekreasi yang tangkas menjaga kemaslahatan orang ramai.

Ini secara tidak langsung mencerminkan Negara Brunei Darussalam sedang pesat membangun.

Bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi, orang ramai juga dibenarkan untuk berniaga di kawasan tersebut di mana terdapat pelbagai jenis barangan telah di jual seperti makanan dan minuman, pakaian, barangan dapur serta permainan untuk menarik kanak-kanak.

Haji Sohaili turut tertarik dengan kepelbagaian bentuk dan coraknya, ini juga menjadi tarikan kepada orang ramai untuk meminati riadah berbasikal. Malah ada beberapa peniaga turut menyewakan basikal mereka kepada orang ramai dengan kadaryang murah, promosi yang menarik serta khidmat langganan yang banyak pilihan haruslah diketengahkan bukan hanya untuk mengaut keuntungan, malah juga bagi menyerapkan budaya bersukan sambil beriadah di kalangan masyarakat.

Di akhir temu ramah tersebut, Haji Sohaili ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada semua yang terlibat menjayakan acara kebangsaan seperti ini dan diharapkan agar ianya bukan hanya akan menjadi acara tahunan, malah juga diperbagaikan dan diperbanyakkan lagi agar sukan berbasikal mampu menjadi pilihan dan diminati ramai.