Monday, January 13, 2025
33.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Acara SMIDEX 2021 berjaya jana RM5.8 Juta

    KUALA LUMPUR, 22 DIS – Pameran Tahunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SMIDEX 2021) anjuran SME Corp Malaysia berjaya menjana potensi jualan sebanyak RM5.8 juta menerusi 82 sesi padanan perniagaan.

    Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy berkata acara yang berlangsung pada 1 sehingga 23 Disember itu turut melibatkan sesi pemadanan perniagaan melalui modul ‘MatchMe’ yang menghubungkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bersama syarikat multinasional, syarikat berkaitan kerajaan, pasar raya dan syarikat besar.

    “SME Corp bukan sahaja membuat padanan bagi PMKS dengan syarikat-syarikat peneraju tetapi turut memadankan mereka dengan pihak institusi kewangan dan perbankan.

    “Menerusi tema ‘PMKS: Bangkit Kembali,’ SME Corp selaku agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi mahu membantu PMKS yang terkesan akibat COVID-19 untuk kembali bangkit dan bersaing di pasaran sedia ada,” katanya berucap pada Majlis Penutup SMIDEX 2021 dan Pelancaran Program Pembiayaan Digital PMKS di sini, hari ini.

    Acara itu telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Suriani Ahmad.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar melihat pameran sebelum majlis perasmian Pameran Tahunan Perusahaan Kecil dan Sederhana 2021 (SMIDEX’21) bertemakan “PMKS: Bangkit Kembali” di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. – Bernama

    Sementara itu, Suriani dalam ucapannya berkata norma baharu yang dicetuskan oleh pandemik COVID-19 telah membuka peluang kepada Malaysia untuk menstrukturkan semula ekonomi ke arah pemulihan lebih kukuh.

    “Ini bagi membentuk ekonomi bernilai tinggi dan berdaya tahan agar PMKS dapat membebaskan diri daripada keterbatasan pasaran kecil dan memasuki pasaran global dengan potensi pelanggan yang berlipat kali ganda berbanding pasaran domestik,” katanya.

    Dalam pada itu, Rizal berkata SMIDEX 2021 turut menggunakan ‘Portal MyAssist MSME’ sebagai platform dalam talian untuk pelbagai aktiviti dijalankan selain berjaya menarik sebanyak 14,225 pengunjung secara maya.

    Malah, sepanjang tempoh 23 hari penganjuran SMIDEX 2021, acara itu digerakkan dengan pelbagai program dan aktiviti secara dalam talian seperti e-pameran yang melibatkan 150 PMKS dari seluruh negara.

    Ini termasuk khidmat nasihat secara dalam talian (MeetMe) yang melibatkan 112 kaunselor perniagaan dan sesi webinar ‘biz-talk’ atau bicara niaga yang mengetengahkan pelbagai topik seperti digitalisasi, penjenamaan dan pengurusan perniagaan.

    Sesi ‘Technology Need Pitching’ (TNP) juga diadakan khusus bagi PMKS yang berminat untuk mengembangkan perniagaan mereka bersama penyedia teknologi berpotensi seperti universiti, institut penyelidikan dan rakan strategik seperti syarikat Huawei dan Telekom Malaysia. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda