ACER sasar perolehan lebih baik dari seluruh Asia-Pasifik

KUALA LUMPUR, 22 OKT – Acer, antara syarikat teknologi maklumat dan komunikasi utama dunia, menyasarkan pertumbuhan perolehan dari seluruh Asia-Pasifik yang lebih baik pada suku keempat 2020, dipacu oleh pesanan dalam jumlah yang besar serta permintaan kukuh.

Presiden bagi seluruh Asia-Pasifik, Andrew Hou berkata sasaran itu berasaskan prestasi rantau ini yang lebih baik pada suku ketiga susulan pemulihan pasaran pasca sekatan pergerakan, iaitu pertumbuhan perolehan sebanyak 15 peratus tahun ke tahun.

Beliau berkata ia menyaksikan Jepun merekodkan pertumbuhan 100 peratus, diikuti Filipina (94 peratus), Oceania (54 peratus) dan Malaysia (23 peratus).

“Sekiranya kami menjumlahkan pesanan dari seluruh Asia-Pasifik, kami dijangka merekodkan prestasi lebih kukuh pada suku keempat namun berikutan kekurangan komponen disebabkan pandemik, bekalan ini masih belum dapat ditentukan,” katanya semasa sidang media secara maya di sini, hari ini.

Sementara itu, bagi separuh pertama 2021, Hou menjangkakan prestasi pertumbuhan bagi seluruh Asia-Pasifik kekal baik memandangkan konsep bekerja dan pembelajaran dari rumah telah meningkatkan permintaan terhadap komputer riba.

“Bagaimanapun sukar untuk mengatakan prospek bagi separuh kedua tahun depan sekiranya ramai kembali menjalani kehidupan seperti kelaziman…kami bimbang permintaan akan susut,” katanya.

Semalam, Acer memperkenalkan beberapa komputer riba baharu untuk pengguna meliputi siri popular iaitu Swift, Spin dan Aspire dengan ciri prestasi pemproses Intel Core Generasi ke-11 serta grafik Iris Xe Intel dan dicipta untuk mempertingkat reka bentuk PC amat mudah alih ke tahap baharu. – Bernama