Achey pasang impian buka kedai runcit

Mahu menerokai pelbagai cabang perniagaan, pelawak Achey berkata dia memasang impian untuk memiliki sebuah kedai runcit yang menjual pelbagai barangan keperluan rumah.

Menurut Achey atau nama sebenar Mohd Nasir Hamzah, dia dan isteri iaitu Nor Hasanah Yahya sudah lama menyimpan hasrat itu dan berharap cita-citanya tercapai dalam masa terdekat.

“Saya dengan orang rumah dah lama nak buat bisnes yang orang ramai perlukan iaitu kedai runcit. Saya nak kedai runcit macam biasa sahaja, bolehlah janji ada bisnes.

“Perniagaan ini jelas dan terang, jadi kami dah tinjau kawasan berdekatan rumah dan insya Allah doakan impian ini tercapai.

“Tahun lepas banyak perancangan bisnes yang terkandas. Sebelum ini saya cakap nak buka kedai aksesori motosikal namun tidak dapat dilaksanakan kerana keadaan semasa yang tidak mengizin-kan,” katanya kepada wartawan.

Dalam pada itu, Achey mengakui pendapatannya sedikit terjejas sepanjang pandemik COVID-19 terutamanya selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu.

Kata Achey, pendapatannya menyusut disebabkan kekurangan tawaran karier seni dan perlu menanggung keluarga terutamanya ibu bapa dan mertua.

“Kebelakangan ini pendapatan sedikit menyusut… bukan hanya kesan PKP tetapi sebab saya banyak tanggungan terutamanya ibu bapa dan mertua.

“Adik-beradik pun kalau ada masalah kewangan saya akan tolong. Walaupun tak dapat nak tolong semua tapi saya akan tanya mereka susah dari segi apa, kalau boleh bantu saya akan bantu.

“Alhamdulillah dalam masa sama saya ada terima tawaran jadi duta untuk beberapa produk dan jadi rakan kongsi perniagaan,” ujarnya.- Agensi

Achey berkata dia memasang impian
untuk memiliki sebuah kedai runcit yang menjual pelbagai barangan keperluan rumah. – Agensi