Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    ACMF tingkat pembangunan kapasiti

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 APRIL – Forum Pasaran-pasaran Modal ASEAN (ACMF) telah mengesahkan komitmennya kepada kemapanan dan pada masa yang sama, memastikan bahawa dapatan daripada pembangunan pasaran modal akan memanfaatkan kesemua negara anggota ASEAN dan membantu dalam pemulihan daripada pandemik COVID.

    Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan ACMF yang dikongsi oleh Bank Pusat Brunei Darussalam (BDCB), di sini, selepas ACMF bersidang dalam Mesyuarat Pengerusi ACMF ke-36 yang dihoskan oleh Securities and Exchange Regulator of Cambodia (SERC) secara maya pada 17 Mac lalu.

    Mesyuarat itu mengambil maklum akan penerimaan positif kepada pelancaran Versi 1, ASEAN Taxanomy for Sustainable Finance (ASEAN Taxanomy) pada 10 November 2021 oleh ASEAN Taxanomy Board (ATB).

    ACMF bersama-sama ASEAN Insurance Regulators Meeting (AIRM), ASEAN Senior Level Committee on Financial Integration (SLC) dan ASEAN Working Committee on Capital Market Development (WC-CMD) menubuhkan ATB pada Mac 2021.

    Berikutan dengan pelancaran Versi 1, ATB akan melaksanakan sesi konsultasi sasaran dengan pihak-pihak yang berkepentingan daripada sektor rasmi dan swasta dengan input yang diterima digunakan dalam membangunkan versi ASEAN Taxanomy seterusnya.

    Wakil negara anggota ASEAN semasa mesyuarat ACMF. – Gambar serahan BDCB

    Setakat hujung Februari 2022, terbitan berjumlah AS$22.8 bilion telah diterbitkan di bawah ASEAN Green, Social and Sustainability Standards, yang telah diperkenalkan pada 2017 dan 2018.

    Ke arah itu, ACMF ingin menyaksikan pembangunan ASEAN Sustainability-Linked Bond Standards dan juga ASEAN Sustainable and Responsible Fund Standards.

    Pada masa yang sama, pengawal selia ASEAN mengalu-alukan perkembangan yang dilakukan dalam Program Pembangunan Pasaran ACMF (A-MDP). Mesyuarat itu juga mengambil maklum kejayaan penyertaan lebih 40 pegawai peringkat kanan dalam program latihan bagi pembiayaan mapan pada Disember 2021.

    Program latihan itu merupakan bahagian pertama dalam kolaborasi dengan Program on International Financial Systems (PIFS), Harvard Law School dengan sokongan Bank Pembangunan Asia (ADB). PIFS juga akan menyediakan latihan mengenai Fintech dan Kripto dalam separuh pertama 2022.

    Ketua Pengarah SERC, Sou Socheat berkata bahawa keterangkuman merupakan matlamat utama SERC bagi pengerusi ACMF. Beliau menambah bahawa mereka ingin memastikan semua negara anggota ASEAN boleh mendapat manfaat daripada pembangunan dalam pasaran modal melalui pembangunan kapasiti serta pertukaran maklumat.

    Beliau turut menekankan bahawa meningkatkan pembangunan kapasiti merupakan salah satu keutamaan penting di bawah Pelan Tindakan ACMF 2021-2025 termasuk memupuk pertumbuhan dan pemulihan dengan kemapanan sebagai objektif strategik.

    Dalam memudahkan pertukaran maklumat dan ketelusan, ACMF mengambil maklum perkembangan dalam usaha untuk menjana hab ilmu pengetahuan sehenti bagi pembiayaan mampan dalam laman sesawang ACMF, serta perkembangan signifikan dalam membangunkan ASEAN Collective Investment Schemes (ASEAN CIS) Digital Repository yang akan menjadi sebuah platform untuk mempromosikan dan menyebarkan tawaran dana merentas sempadan dalam ASEAN.

    Mesyuarat itu turut maklum mengenai Corporate Governance Awarding Ceremony, yang dijangka diadakan pada September 2022.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...