Ada hikmah terkandas di Brunei – Nina Iskandar

Barangkali, terselit hikmah yang tidak disangka di sebalik ujian pandemik COVID-19 yang menyerang seluruh dunia, sejak tahun lalu.

Jauh di sudut hati, kerinduan pelakon, Nina Iskandar, 30, pulang ke Malaysia cukup membuak-buak selepas terkandas di negara kelahirannya, Brunei Darussalam selepas melahirkan cahaya mata sulung, Muhammad Aaryan ar-Rizqin pada Disember 2019.

Namun, apabila memikirkan situasi COVID-19 di Malaysia belum surut dan pada masa sama, bimbang meninggalkan anaknya yang masih kecil, hatinya lebih bersyukur.

“Ada kala saya pernah terfikir, lantaklah apa hendak jadi. Saya mahu redah pulang ke Malaysia kerana terlalu rindu kembali bekerja.

“Hati terasa melihat rakan lain sibuk di lokasi penggambaran. Kadang kala terbit perasaan cemburu.

Nina Iskandar mengaku merasa takut apabila memikirkan keadaan pesakit COVID-19 yang memerlukan masa agak lama untuk pulih. – Agensi

“Saya terlalu rindukan kehidupan di Kuala Lumpur. Bagaimanapun, apabila merenung semula, saya tidak mahu membahayakan nyawa dalam situasi pandemik.

“Pada masa sama, saya tidak bersedia berjauhan dan meninggalkan Aaryan,” katanya kepada media.

Pelakon drama Andainya Takdir dan Isteri Dalam Sangkar itu berkata, ketakutannya juga apabila memikirkan keadaan pesakit COVID-19 yang memerlukan masa agak lama untuk pulih.

“Ada hikmahnya saya terkandas di Brunei. Saya jadi takut apabila membaca kisah pesakit COVID-19, apatah lagi, ada sahaja kematian yang didedahkan.

“Jadi, lebih baik saya tidak mengambil risiko membahayakan nyawa dalam situasi COVID-19.

“Lebih manis, situasi pandemik memberi peluang kepada saya melihat Aaryan membesar di hadapan mata. Diam tak diam, Aaryan bakal memasuki usia dua tahun, tidak lama lagi,” katanya.

Biarpun mempunyai perniagaan, namun, Nina atau nama sebenarnya, Nur Akmalina Iskandar yang mendirikan rumah tangga dengan penolong pengarah, Azlan Adzanan tidak pernah terlintas meninggalkan dunia lakonan yang diminati.

Memulakan kerjaya lakonan pada 2011, Nina berkata, perasaan cinta terha-dap dunia seni masih menebal. Namun, pandemik COVID-19 seakan menguburkan impian bergerak aktif semula.

“Sebenarnya, saya berhasrat pulang ke Kuala Lumpur selepas beberapa hari melahirkan Aaryan, tahun lalu. Namun, COVID-19 mula menyerang menyebabkan hasrat terpaksa ditangguhkan.” – Agensi