ADA memperingati ulang tahun ke-30

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JULAI – Sempena memperingati ulang tahun ke-30 penandatanganan Akta Orang Kurang Upaya Amerika (ADA) di sambut 26 Julai, Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Bandar Seri Begawan telah menganjurkan sesi perkongsian yang berlangsung di Avenue 41, Kiarong, hari ini. Pada sesi berkenaan, Felo Profesional YSEALI dari Brunei dan Pemangku Ketua Pentadbiran Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan), Dayang Nurul Huda binti Haji Muhin telah mengongsikan pengalaman ‘fellowship’ enam minggu di Disability Rights Montana (DRM), AS.

Ini termasuk tentang betapa pentingnya ADA, di mana beliau bekerja dengan peguam, peguam bela dan agensi untuk mengetahui tentang hak-hak orang kurang upaya dan bagaimana hak-hak tersebut dilindungi.

Terdahulu, Pegawai Hal Ehwal Awam Kedutaan AS, Daniel Lee berkata, “Kami gembira kerana Dayang Nurul Huda dapat melibatkan diri dalam program pertukaran IVLP, terus mengembangkan hubungannya dengan Disability Rights Montana setelah kembali ke Brunei dan mengongsikan apa yang telah dipelajarinya dengan organisasi lain yang melayani orang kurang upaya.”

Sesi berkenaan dihadiri oleh perwakilan daripada pelbagai organisasi termasuk Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU) Brunei, Pusat Ehsan, SMARTER Brunei, Olimpik Khas Brunei Darussalam, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNAB), Persatuan Orang Kurang Pendengaran (OKP), Persatuan Kanak-kanak Cacat (KACA), Persatuan Orang-orang Berkerusi Roda dan Orang Cacat Anggota (PAPDA), Persatuan Sindrom Down (ABLE) Brunei, Pusat Bahagia di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, dan Unit Pendidikan Khas di bawah Kementerian Pendidikan.

Menurut kenyataan yang diberikan, ADA adalah undang-undang perintis AS yang melarang diskriminasi terhadap individu kurang upaya di semua bidang kehidupan awam.

Walaupun ADA diaplikasikan untuk mereka yang berada di tanah AS, ia memberikan pengaruh dan inspirasi yang jelas bagi orang kurang upaya di seluruh dunia, termasuk Brunei.

Sesi perkongsian tersebut memberikan peluang kepada pertubuhan-pertubuhan yang berfikiran sama untuk terlibat dalam dialog mengenai promosi hak asasi manusia dan kesaksamaan, terutama bagi masyarakat Brunei yang memiliki kelainan upaya.

ADA adalah kisah aktivisme sivik yang mendorong tindakan perundangan yang membawa kepada perubahan berterusan dari semasa ke semasa. Ia telah mendorong peluang yang sama dan mengingatkan Amerika bahawa warisannya yang mempunyai hak sama rata.

Dayang Nurul Huda (tengah) semasa mengongsikan pengalamannya di Disability Rights Montana (DRM), Amerika Syarikat.