Ada pelakon sanggup palsukan sijil vaksin

Pengarah Shahrulezad Mohameddin mendakwa terdapat beberapa kru dan pelakon yang sanggup memalsukan sijil vaksin semata-mata mahu terus bekerja.

Shahrulezad juga pengarah Nur berkata, sepatutnya mereka perlu jujur dan telus.

“Tolong jujur, sebab bekerja dengan niat menipu ini, Insya-Allah takkan berkat.

“Perkara yang merisaukan saya adalah, apabila ada kru atau pelakon termasuk pelakon tambahan yang tak telus. Akhir-akhir ini, bertebaran khabar angin mengatakan ada beberapa artis yang sanggup berpa-kat dengan ‘orang dalam’ untuk memalsukan sijil vaksin di MySejahtera hanya kerana mahu namanya ‘lepas’ untuk turun menjalani penggambaran,” katanya.

Shahrulezad menerusi hantaran di Facebook turut berkongsi berita mengenai kes jangkitan terbaharu membabitkan satu produksi penggambaran yang dijalankan di Perak.

Dalam nada tegas, Shahrulezad juga penerbit syarikat Radius One berkata pihaknya tidak akan bertanggjungjawab jika ada mana-mana pihak yang menipu perkara itu.

“Di tahap ini, saya tak tahu nak cakap apa lagi apabila sampai satu peringkat kru dan pelakon sanggup menipu kami.

Apabila terjadi perkara ngeri macam cerita di bawah ini, kami selaku penerbit yang sudah keluarkan duit terpaksa menanggung akibat perbuatan pentingkan diri mereka. 

“Produksi terpaksa ditutup. Jangkitan yang lebih banyak akan berlaku.

Paling ngeri, kematian mungkin akan berlaku. Terus terang cakap, belum ada lagi pakej insuran yang sanggup beri perlin-dungan sekiranya malapetaka ini berlaku di set saya, Radius One tak akan bertanggungjawab andai kata ada yang menipu kami,” katanya. 

Dalam masa sama, Shahrulezad berkongsi rasa hormatnya kepada artis yang berpegang kepada pendirian mereka dan tidak menipu walaupun enggan mengambil vaksin. – Agensi

Shahrulezad Mohameddin mendakwa ada kru dan pelakon memalsukan sijil vaksin. – Agensi