Ada yang ambil kesempatan arahan pengasingan kendiri

Pandemik COVID-19 telah men-jejaskan majoriti perusahaan-perusahaan di negara ini terutama perusahaan kecil dan sederhana yang menghadapi masalah daripada segi pendapatan.

Hal berkaitan COVID-19 ini juga telah menyebabkan pihak kerajaan mengambil salah satu langkah tertentu untuk berjaga-jaga dengan mengadakan pengasingan kendiri bagi pekerja yang tidak sihat.

Dalam hal ini, pihak kerajaan juga telah membuat peruntukan undang-undang khususnya berkaitan dengan pembayaran gaji pekerja sekiranya pekerja telah mendapat arahan ‘self-isolation’ dari pihak hospital.

Masalahnya sekarang arahan tersebut telah diambil kesempatan oleh pekerja-pekerja terutamanya anak tempatan sendiri yang bekerja di bawah syarikat-syarikat swasta khususnya syarikat perusahaan kecil dan sederhana.

Apatah lagi jika arahan pengasingan kendiri itu tersebut berulang kali bagi pekerja yang sama.

Seperti yang kita sedia maklum, jika seseorang sakit atau kurang sihat walau tidak seteruk mana pun akan mendapat arahan pengasingan kendiri selama tujuh hari.

Maka saya harap, pihak tertentu memikirkan kembali perkara ini agar pembayaran gaji  semasa cuti pengasingan kendiri tersebut dibayar bagi kali pertama sahaja dan kali kedua serta seterusnya, syarikat berhak membenarkan cuti rehat tanpa gaji saja untuk pekerja tersebut jika pekerja tersebut benar-benar sudah tidak mampu bekerja dan mendapat kebenaran pengasingan kendiri kali kedua dan seterusnya.

Tidak adil rasanya bagi syarikat kecil yang sudah tentu pendapatan pun sekadar ala-kadarnya sahaja untuk membayar gaji pekerja sedangkan pekerja tersebut cuti pengasingan berulang kali.

Disebabkan itu syarikat perlu mendapatkan pengganti pekerja sementara  bagi menggantikan pekerja yang sedang cuti tersebut dan

perkara ini sudah tentu juga memerlukan perbelanjaan yang berlipat ganda dalam pembayaran gaji bagi syarikat ke atas pekerja yang cuti dan membayar gaji untuk pekerja gantian.

Dalam hal ini terjadinya ‘double payment’.

Sedangkan syarikat pun pada masa sekarang mendapat impak yang sangat besar disebabkan COVID-19 ini, malah akan mengeluarkan peruntukan pembayaran gaji pekerja yang lebih. Ibarat peribahasa sudah jatuh di timpa tangga.

Dengan ini, diharapkan pencerahan pihak tertentu mengenai hal ini agar ia tidak berlarutan.

Si Perusahaan Kecil Tempatan