Friday, December 6, 2024
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Adab ketika menziarahi kubur

    Menziarahi kubur ibu bapa adalah sunat muakkad dan besar pahalanya. Makin bertambah pahalanya seperti diterangkan dalam hadis-hadis Rasulullah. Terutama sekali, jika kubur ibu bapa diziarahi pada tiap-tiap hari Jumaat dan dibacakan Surah Yasin disisinya.

    Kelebihan mengenang ibu bapa dengan doa dan dengan menziarahi kuburnya membawa kebaikan bukan sahaja kepada anak-anaknya yang soleh tetapi juga kepada anak derhaka. Seperti dalam sebuah hadis diterangkan: Anak derhaka yang kematian kedua ibu bapanya kemudian dia (menyesal dan bertaubat) dan sentiasa berdoa untuk mereka, nescaya ia diampuni Allah dan dikira sebagai anak yang taat. Namun ketika kita menzia-rahi kubur sama ada kubur ibu bapa atau ahli keluarga atau rakan kita, kita mesti menjaga adab ketika berada di tanah perkuburuan.

    Menurut huraian ulama, orang yang menziarahi kubur dituntut membersihkan diri daripada hadas dan disunatkan berwudhu. Ketika sampai ditanah perkuburan, sunat memberi salam secara umum kepada ahli kubur dan berdoa semoga mereka beroleh rahmat dan selamat sejahtera. Ini diterangkan dalam hadis dari Buraidah al-Aslami r.a, katanya;

    ”Rasulullah pernah mengajar sahabat-sahabatnya apabila mereka menziarahi tanah perkuburan supaya tiap-tiap seorang di antara mereka (memberi salam dan berdoa dengan berkata: Salam sejahtera kepada kamu wahai ahli perkampungan (tanah kubur) ini, dari kalangan kaum mukminin dan muslimin; dan bahawa kami juga Insya Allah akan menurut kamu apabila sampai gilirannya; semoga Allah memberi rahmat dan selamat sejahtera kepada kami dan kamu sekalian.”

    (Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah)

    Setelah sampai berhampiran kubur kaum kerabat atau sahabat kenalan, hendaklah berdiri rapat ditepi kubur dengan menghadap muka si mati (untuk mengetahui arahnya, semua orang mati dikebumikan dengan keadaan mengiring atas sebelah kanannya dan mukanya menghadap kiblat) sambil memberi salam secara khusus kepadanya: Contohnya kalau si mati ayah, maka lafaz salamnya ialah : ”Assalamualaikum wahai ayahku” dan kalau ibu, ”Assalamualaikum wahai ibuku.”

    Demikian seterusnya kepada kaum kerabat dan sahabat kenalan, beri salam dahulu disertakan dengan panggilan yang biasa kita berbahasa dengan mereka semasa mereka hidup. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda