Wednesday, February 12, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Adakah Brazil masih jaguh bola sepak?

    SAO PAOLO – Dengan reputasinya yang terkenal dengan jogo bonito, bintang ikonik dan rekod lima gelaran Piala Dunia, Brazil telah lama dikenali sebagai jaguh bola sepak.

    Negara Pele, Garrincha dan Ronaldinho, yang pernah memukau dunia dengan gaya samba, tidak pernah memenangi Piala Dunia sejak 2002. Ia juga tidak menghasilkan pemenang Ballon d’Or sejak Kaka pada 2007.

    Dengan Selecao yang kini mengalami kesukaran untuk menempah tempatnya di Piala Dunia 2026, ramai di Brazil dan seterusnya tertanya-tanya mengapa.

    “Kami berada di tahap terendah. Dahulu kami mempunyai lebih ramai atlet berkualiti tinggi,” kata anak sulung mendiang Pele, Edinho, kepada AFP baru-baru ini.

    Malah Presiden Luiz Inacio Lula da Silva turut menyertai usaha mencari jati diri kebangsaan, mengakui bahawa Brazil tidak bermain bola sepak terhebat di dunia lagi.

    Penduduk tempatan berehat sambil bermain bola sepak di padang tanah di Sao Paulo, Brazil. – AFP
    Peminat pasukan Flamengo dan Vasco da Gama berkumpul untuk menonton perlawanan derby Carioca di skrin gergasi. – AFP
    Grafiti dengan tulisan ‘Brazilian football was born here’ melintasi jejambat pejalan kaki di Botago, Rio de Janeiro, Brazil. – AFP
    Seorang lelaki mencuci kasut bola sepaknya selepas bermain di padang tanah di Sao Paulo, Brazil. – AFP
    Gambar AFP

    Satu jawapannya mungkin adalah disebabkan kemerosotan bola sepak jalanan, di mana beberapa pemain hebat sepanjang zaman Brazil bermula seperti Rivellino, Zico dan Romario.

    “Tiada siapa lagi bermain di jalanan. Awda tidak mendengar cerita tentang sepakan yang memecahkan tingkap seseorang,” kata pemain bola sepak amatur, Lauro Nascimento, yang jersinya kotor dengan lumpur perang selepas bermain di salah satu padang tanah yang tinggal di sebelah utara Sao Paulo .

    Nascimento, seorang profesional kewangan berusia 52 tahun yang bermain untuk kelab tempatan Aurora, patah beberapa jari kaki ketika bermain bola sepak tanpa kasut semasa kecil.

    Daerah Vila Aurora, kini diliputi oleh konkrit. Dua bangunan berdiri di atas padang rumput yang dahulunya terbuka digunakan sebagai padang bola sepak.

    “Mana-mana kawasan lapang dahulu sudah mencukupi untuk kanak-kanak bermain bola sepak. Kini, mereka dilihat sebagai hartanah pembangunan utama,” kata ahli sejarah sukan, Aira Bonfim.

    Nascimento dan rakan-rakannya membayar AS$160 sebulan untuk menyewa tanah yang usang di mana mereka bermain perlawanan tetapi jumlah wang sebegitu menjadi penghalang bagi keluarga kelas pekerja.

    Untuk mendapatkan akses ke padang hari ini, kanak-kanak miskin di Brazil sering bergantung pada sekolah, program sosial atau akademi bola sepak.

    Hanya satu daripada lima akademi sedemikian adalah percuma, menurut kajian 2021.

    Dan kebanyakan padang itu adalah sintetik, permukaan yang dikatakan oleh sesetengah orang membangunkan teknik pemain berbanding padang kasar yang berbatu pada zaman dahulu.

    Penurunan masa yang dihabiskan untuk bermain sukan itu telah memberikan “impak besar kepada bola sepak kami”, kata penyelidik Euler Victor.

    “Kami memiliki sejumlah besar pemain Brazil yang bermain di Eropah tetapi sangat sedikit yang bintang.”

    Harapan besar Brazil yang terkini, Neymar, bersinar di Barcelona tetapi menghadapi kesukaran untuk memimpin pasukan kebangsaan ke kejuaraan dalam kerjaya yang dihimpit kontroversi dan kecederaan.

    Penduduk Brazil kini meletakkan harapan mereka kepada Vinicius Junior yang berusia 23 tahun dan pemain muda Endrick yang bakal menyertai Vinicius di Real Madrid apabila berusia 18 tahun pada Julai.

    Brazil masih merupakan pengeksport utama pemain bola sepak dunia tetapi mereka membawa masuk wang yang lebih sedikit.

    Menurut angka FIFA, kelab-kelab membayar yuran perpindahan sebanyak AS$935.3 juta untuk 2,375 pemain Brazil tahun lalu, turun hampir 20 peratus daripada 2018, apabila bilangan pemain lebih kecil iaitu 1,753.

    Sebahagian daripada penurunan itu disebabkan oleh pasukan yang membayar lebih sedikit untuk mengupah ejen bebas dan pemain yang lebih muda.

    Tetapi terdapat juga kekurangan bintang yang menonjol.

    “Teknik kami telah terjejas,” kata Victor Hugo da Silva, jurulatih di akademi remaja Flamengo di Sao Goncalo, di luar Rio de Janeiro.

    “Gaya permainan berubah dan itu akhirnya mengambil sebahagian daripada kreativiti kami.

    Bola sepak kami dahulunya sangat menggembirakan. Kini ia menjadi lebih mekanikal.”

    Di atas padang sintetik, dia melatih kanak-kanak berusia tujuh hingga 10 tahun yang bermimpi mengikuti jejak Vinicius, graduan paling terkenal di akademi itu.

    Generasi seterusnya masih memliki minat dalam bola sepak tetapi menghadapi kesukaran dalam latihan, masalah yang Da Silva sifatkan kepada gaya hidup mereka yang tidak aktif dan ketagihan pada skrin.

    Brazil, penduduk 203 juta, memiliki lebih banyak telefon bimbit daripada penduduknya.

    Lebih daripada satu pertiga kanak-kanak berumur lima hingga 19 tahun mengalami berat badan berlebihan atau obesiti, menurut World Obesity Atlas.

    Robson Zimerman, pencari bakat untuk kelab Sao Paulo Corinthians, berkata pemain bola sepak baru muncul hari ini menghadapi keadaan yang lebih sukar, termasuk keupayaan untuk memainkan pelbagai posisi dan mengatasi jangkaan yang terlalu daripada keluarga dan media. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda