Adakah cinta akan terus bersemi?

Oleh Zulkamal Haji Kamis

DRAMA Korea terbaharu yang bertajuk Left-Handed Wife ini baharu sahaja disiarkan pada awal bulan Januari lalu di mana diarahkan oleh Kim Myun-Wook dan skrip ditulis oleh Moon Eun-Ah serta disiarkan dalam saluran KBS2. Drama berkonsepkan romantik ini dijangka mempunyai 100 episod disiarkan pada hari Isnin sehinggalah hari Jumaat.

Drama bertemakan romantik ini dibintangi oleh dua pelakon yang cukup terkenal di Korea Selatan iaitu Kim Jin-woo dan Lee-Soo-Kyung.

Left-Handed Wife ini mengisahkan mengenai pasangan suami isteri yang baharu sahaja mendirikan rumah dan berhasrat untuk berbulan madu di luar negara.

Mengalami malapetaka

Namun panas yang disangka sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari apabila pasangan suami isteri yang baharu sahaja berkahwin ini mengalami kecelakaan semasa berbulan madu, di mana Lee Soo-Ho lakonan Kim Jin-Woo telah hilang ingatan dan cedera parah manakala, isterinya Oh San-Ha lakonan Lee Soo-Kyung pula tidak mengetahui apakah yang terjadi kepada suaminya itu dan berusaha untuk mencarinya.

Pelbagai peristiwa dan konflik yang dihadapi oleh kedua-dua suami isteri ini sehingga berlakunya pelbagai komplot dan niat-niat jahat daripada orang lain yang ingin memisahkan pasangan suami isteri ini.

Drama ini turut dibintangi beberapa pelakon Korea Selatan yang terkenal seperti Jin Tae-Hyun, Ha Yeon-Joo, Lee-Seung-Yeon, Kang Nam-Kill, Kim Seo-Ra, Park Yoo-Ha dan banyak lagi.

Bagi mengetahui lebih lanjut tentang drama ini, ikutinya di saluran KBS2, setiap hari Isnin hingga Jumaat bagi menyaksikan apakah bakal dilalui lagi oleh Oh San-Ha dan suaminya, Lee Soo-Ho yang sudah hilang ingatan, adakah dia akan ingat kembali isterinya, saksikannya dalam drama Left-Handed Wife.

Apakah konflik yang bakal diharungi oleh Oh San-Ha, ikuti kisah selanjutnya dalam drama terbaharu Korea, Left-Handed Wife.