Oleh Hj Bakhil –
Dengan isu gaji minimum menjadi perbualan utama ketika ini, timbul persoalan adakah $500 atau $2.62 sejam itu mencukupi atau tidak semasa negara seluruh dunia mengalami inflasi.
Saya berpendapat belia yang baru berkecimpung dalam bidang pekerjaan mungkin mampu ‘survive’ jika gaji tersebut untuk diri sendiri dan tiada tanggungan lain.
Namun bagi mereka yang sudah berkeluarga pasti tidak mencukupi kerana beberapa komitmen yang perlu dilunaskan seperti membayar kereta, rumah, perbelanjaan untuk anak, belanja dapur, nafkah, sekolah, potongan caruman bulanan, bayaran bil elektrik dan air, minyak kereta dan sebagainya.
Mungkin kiraan bayaran itu sudah melebihi harga gaji yang diterima atau defisit, bak kata sesetengah orang bukan untung, berhutang pula.
Jika hendak berniaga untuk menambah pendapatan sampingan pula sudah tentu memerlukan modal.
Ini juga menjadi satu cabaran, terutamanya bagi mereka yang menerima gaji ikut jam, kerana mereka perlu bekerja 48 jam seminggu untuk sepadan dengan mereka yang menerima gaji bulanan.
Dan saya perhatikan waktu bekerja yang ditetapkan oleh panduan pihak berkuasa adalah tidak lebih daripada 44 jam seminggu.
Jadi, saya berharap pihak yang berkenaan akan memberikan lebih banyak penjelasan, panduan dan tumpuan tentang bagaimana untuk merealisasikan salah satu daripada tiga matlamat utama Wawasan Brunei 2035 iaitu Rakyat Mempunyai Kualiti Kehidupan yang Tinggi dalam tempoh 12 tahun ini.
